KUALA LUMPUR, 17 NOV: Sebanyak 1,643 daripada keseluruhan 34,544 cerun di seluruh negara dikenal pasti berada dalam kategori berisiko sangat tinggi dan dipantau rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata antara lokasi paling kritikal ialah laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang kini sedang menjalani kerja pembaikan cerun, namun masih boleh digunakan menerusi laluan sementara yang disediakan.
"Laluan berkenaan masih boleh digunakan kerana kita menyediakan laluan sementara, selain pemantauan dilakukan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung,” katanya pada sidang media di sini hari ini berhubung kesiapsiagaan Kementerian Kerja Raya (KKR) menghadapi MTL.
Beliau berkata JKR menggunakan pelbagai instrumen bagi memantau keadaan cerun, termasuk tolok hujan, sensor kecondongan, stesen jumlah robotik, Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), piezometer dan inklinometer.
Selain cerun, Ahmad berkata JKR juga mengenal pasti 1,195 lokasi hotspot banjir di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri dengan Pahang mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 215 lokasi, diikuti Kelantan (193) dan Terengganu 177 lokasi.
“JKR mempunyai 85 jurutera daerah di seluruh negara yang bertindak sebagai petugas barisan hadapan dalam memantau keadaan infrastruktur serta kawasan di bawah seliaan masing-masing sepanjang musim tengkujuh,” katanya.
JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut mengarahkan semua pihak berkaitan, termasuk 28 syarikat konsesi lebuh raya, membuat persediaan awal bagi menghadapi risiko banjir, tanah runtuh, pokok tumbang serta kerosakan jalan raya dan jambatan.
Beliau berkata JKR mengoperasikan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBencana) sebagai pusat pemantauan serta penyampaian maklumat, manakala Pusat Pengurusan Trafik (TMC) LLM beroperasi 24 jam sehari bagi memantau keadaan lebuh raya.
"Bagi menghadapi kemungkinan bencana berskala besar, pusat Highway Crisis Control and Command Centre (Hi4C) LLM akan diaktifkan sekiranya berlaku gangguan serius terhadap laluan utama, termasuk penutupan jalan melebihi 24 jam," katanya.
Ahmad berkata KKR turut memastikan peralatan kecemasan, papan tanda amaran, penghadang keselamatan, lampu amaran, bahan membaiki jalan dan jentera disediakan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku bencana.
KKR juga memastikan Jambatan Bailey tersedia di lokasi strategik di seluruh negara bagi membolehkan laluan sementara dibuka sekiranya jambatan rosak atau jalan terputus akibat bencana.
Dalam pada itu, beliau berkata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama JKR dijadual melaksanakan program pembersihan longkang perdana di Kuala Langat esok sebagai langkah proaktif mengurangkan risiko banjir sepanjang MTL.
Katanya, kerja pembersihan longkang dan sistem saliran, khususnya di kawasan yang sering mengalami banjir, turut diberi perhatian bagi memastikan aliran air tidak terhalang ketika hujan lebat.








