Lebih 6,000 tan e-sisa dikumpul di Selangor tahun lalu, JAS perketat penguatkuasaan

18 Jun 2026, 10:00 AM
Lebih 6,000 tan e-sisa dikumpul di Selangor tahun lalu, JAS perketat penguatkuasaan
Lebih 6,000 tan e-sisa dikumpul di Selangor tahun lalu, JAS perketat penguatkuasaan

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebanyak 6,030.7 metrik tan sisa elektronik (e-sisa) yang dikategorikan sebagai bahan buangan terjadual (SW110) dikutip di Selangor sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Dato' Wandi Yadzid Yaakob berkata jumlah itu direkodkan menerusi Sistem Maklumat Buangan Terjadual Elektronik, berbanding 6,934.5 metrik tan yang dikutip pada 2024.

Beliau menjelaskan sisa elektronik merujuk kepada peralatan elektrik dan elektronik yang rosak, usang atau tidak lagi digunakan serta dikategorikan sebagai SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurutnya, bahan tersebut tidak digunakan semula dalam bentuk asal, sebaliknya dikitar semula bagi mendapatkan semula logam berharga yang terkandung di dalamnya seperti emas, kuprum, palladium dan perak.

“Logam tersebut boleh digunakan semula bagi tujuan pembuatan produk elektrik dan elektronik yang baharu. Menjadi polisi sebarang pengimportan sisa elektronik tidak dibenarkan ke dalam negara,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata larangan mutlak pengimportan e-sisa turut diperuntukkan menerusi Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang berkuat kuasa pada 1 April tahun ini.

Mengulas lanjut, Wandi Yadzid memaklumkan kemasukan sisa elektronik secara haram boleh menggalakkan pertumbuhan kilang kitar semula haram dalam negara yang beroperasi tanpa sistem kawalan pencemaran mencukupi.

Katanya, antara kesan utama ialah pencemaran tanah akibat kandungan bahan berbahaya seperti plumbum dan kadmium yang boleh mencemarkan tanah serta air bawah tanah selain menjejaskan kesuburan tanah pertanian.

“Malah, bahan berbahaya atau toksik daripada sisa elektronik sekiranya tidak diuruskan dengan betul boleh mengalir ke dalam sungai atau air bawah tanah. Ini boleh menjejaskan kehidupan akuatik dan tahap kualiti air sungai sebagai sumber air mentah untuk manusia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pemprosesan e-sisa yang tidak terkawal boleh menyebabkan pencemaran udara melalui pelepasan refrigeran serta gas berbahaya seperti dioksin dan furan.

Menurutnya, premis atau pihak yang mengendalikan buangan tanpa lesen boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.