SHAH ALAM, 18 JUN: Pembukaan semula Selat Hormuz berpotensi meredakan tekanan harga minyak dunia dan memberi sedikit kelegaan kepada pengguna yang berdepan kos sara hidup tinggi, kata pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Namun, beliau berkata kesannya tidak dijangka berlaku secara mendadak kerana pergerakan harga minyak global turut dipengaruhi faktor lain seperti permintaan pasaran, bekalan sedia ada dan tahap simpanan minyak negara-negara pengimport utama.
“Secara realistik, pengguna dijangka mula merasai kesan awal dalam tempoh tiga hingga enam bulan khususnya pada sektor berkaitan seperti tambang penerbangan, caj penghantaran kontena serta kos pengangkutan industri.
“Tempoh tersebut dipengaruhi beberapa faktor termasuk penggunaan stok lama yang masih berasaskan kos tinggi, kontrak logistik yang ditetapkan lebih awal serta tempoh diperlukan peniaga untuk menyesuaikan harga jualan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Meskipun kesannya terhadap kos sara hidup tidak serta-merta, Barjoyai berkata pembukaan pembukaan semula Selat Hormuz mampu membantu mengawal inflasi, mengurangkan kos operasi syarikat serta mengekang tekanan kenaikan harga barang.
Beliau berkata walaupun harga minyak dijangka menurun, kos sara hidup di Malaysia tidak akan berubah secara mendadak kerana turut dipengaruhi faktor lain seperti nilai ringgit, kos buruh, sewa, utiliti, gangguan rantaian bekalan global dan struktur pasaran.
Selain itu, beliau berkata pembukaan semula laluan itu dijangka mengurangkan kos logistik dan pengangkutan termasuk pengurangan premium insurans serta masa penghantaran sekali gus memberi manfaat kepada sektor perdagangan, peruncitan dan pembuatan secara keseluruhan.
“Sebelum ini, kita dapat lihat syarikat perkapalan dan penerbangan berdepan kos bahan api lebih tinggi, premium insurans risiko perang, laluan alternatif yang panjang serta masa penghantaran yang lebih lama.
Namun, apabila laluan kembali normal, kos bahan api berpotensi menurun, premium insurans boleh dikurangkan, kecekapan rantaian bekalan meningkat dan masa penghantaran menjadi lebih singkat,” tambahnya.
Menurut Barjoyai, pembukaan semula Selat Hormuz itu bukan sekadar isu geopolitik, sebaliknya perkembangan penting yang memberi kesan kepada ekonomi dunia dan Malaysia dalam jangka pendek serta sederhana.
Katanya, perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang membawa kepada pembukaan semula laluan itu merupakan perkembangan positif kepada ekonomi global kerana laluan itu mengendalikan kira-kira satu per lima perdagangan minyak dunia.
Terdahulu, media melaporkan Presiden AS, Donald Trump pada 14 Jun lalu mengumumkan bahawa perjanjian dengan Iran telah dimuktamadkan serta memberi kebenaran bagi pembukaan semula Selat Hormuz serta penamatan sekatan tentera laut AS.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pula dilaporkan berkata AS dan Iran mencapai perjanjian damai susulan rundingan intensif dengan majlis pemeteraian rasmi dijadualkan berlangsung pada 19 Jun di Switzerland.








