Selat Hormuz dibuka semula, Malaysia berpotensi raih manfaat besar

18 Jun 2026, 12:00 AM
Selat Hormuz dibuka semula, Malaysia berpotensi raih manfaat besar
Selat Hormuz dibuka semula, Malaysia berpotensi raih manfaat besar

SHAH ALAM, 18 JUN: Malaysia antara negara yang berpotensi menerima manfaat ekonomi terbesar susulan pembukaan semula Selat Hormuz kerana kebergantungan kepada perdagangan antarabangsa.

Pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata pembukaan semula laluan strategik itu dijangka mengurangkan risiko gangguan terhadap perdagangan global serta bekalan tenaga dunia.

Menurutnya, sektor yang bakal menerima manfaat seperti perdagangan, peruncitan dan pembuatan melalui pengurangan kos insurans, penghantaran lebih pantas serta rantaian bekalan lebih cekap.

“Malaysia mempunyai ekonomi yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

"Apabila laluan utama seperti Selat Hormuz kembali beroperasi secara normal, risiko gangguan bekalan dan kos perdagangan dapat dikurangkan,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, media melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan perjanjian dengan Iran meliputi pembukaan semula Selat Hormuz dimuktamadkan, dengan majlis pemeteraian rasmi dijadual berlangsung pada 19 Jun di Switzerland.

Jelas Dr Barjoyai, perkembangan itu berpotensi menyokong pertumbuhan eksport negara, meningkatkan aktiviti pembuatan dan menarik pelaburan asing selain kesan positif kepada sektor pengguna.

Menurutnya, perjanjian damai antara AS dan Iran turut memanfaatkan Malaysia dengan keyakinan pelabur asing meningkat, ringgit stabil dan sentimen lebih baik pasaran saham.

“Selain itu, industri pelancongan menjadi lebih kompetitif manakala sektor logistik dan perkapalan mendapat manfaat daripada kos operasi yang lebih rendah, sekali gus membantu mempercepat pemulihan aktiviti ekonomi serantau," jelasnya.

Dr Barjoyai berkata kerajaan perlu memperkukuh pemantauan harga, meningkatkan ketelusan kos, menggalakkan persaingan pasaran serta mempercepat proses pendigitalan dalam sektor logistik.

Jelasnya, pemain industri juga perlu menyalurkan penjimatan kos kepada pengguna, meningkatkan produktiviti dan memperbaiki pengurusan inventori supaya manfaat pembukaan semula laluan itu dimaksimumkan.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa kesan yang perlu diberi perhatian, termasuk kemungkinan pengurangan hasil eksport minyak dan gas negara sekiranya harga minyak dunia menurun.

Katanya, dividen Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) kepada kerajaan berpotensi lebih rendah berbanding ketika harga minyak tinggi, manakala kutipan cukai sektor tenaga boleh terjejas.

Dr Barjoyai menambah pasaran masih berhati-hati kerana risiko geopolitik belum hilang sepenuhnya dan beberapa rundingan penting berkaitan Iran masih belum dimuktamadkan.

Krisis di Asia Barat kembali memuncak pada Jun lalu susulan konflik ketenteraan antara Iran dan Israel yang menyaksikan beberapa siri serangan balas dilakukan kedua-dua pihak.

Ketegangan itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan global, khususnya di Selat Hormuz yang menjadi antara laluan utama penghantaran minyak dunia.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.