SHAH ALAM, 18 JUN: Penubuhan pusat kesejahteraan penjagaan sementara bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Selangor perlu berlandaskan komuniti, pelbagai dimensi dan santai.
Memuji pendekatan Selangor, konsep itu menurut pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan Akademik Pusat Pengajian Sivil Cina Malaysia menyokong penjaga dan meluaskan radius sosial golongan rentan.
Bagaimanapun, Dr Chang Yun Fah menegaskan model pusat jagaan itu wajib berpaksikan konsep mesra komuniti dan dibina berhampiran lokaliti penduduk bagi mengelakkan kesan logistik.
"Saya ambil contoh di Hulu Selangor. Jika pusat ini dibina di Kuala Kubu Bharu sedangkan keluasan daerah itu amat besar, adakah wajar untuk penjaga berulang-alik setiap hari semata-mata untuk menghantar ahli keluarga mereka bagi tempoh beberapa jam?
"Fungsi utama pusat itu adalah 'sementara'. Penjaga boleh meninggalkan anak kurang upaya atau warga emas selama tiga hingga empat jam untuk menyelesaikan urusan peribadi. Ini yang membezakan pusat ini dengan institusi penjagaan sedia ada," katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata cadangan mewujudkan pusat penjagaan sementara untuk warga emas dan OKU bagi membantu golongan penjaga, khususnya wanita
Khidmat sukarelawan kurangkan kos operasi
Berikutan konsep pusat jagaan sementara ini masih baharu di Malaysia, Yun Fah mencadangkan model tersebut diuji menerusi projek rintis terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada komuniti.
Beliau turut menyarankan gandingan sekurang-kurangnya seorang jururawat profesional sepenuh masa bersama tenaga kerja sokongan komuniti setempat bagi mengurangkan kos pengurusan yang tinggi.
"Kita boleh melibatkan pesara, belia serta sukarelawan untuk membantu operasi. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah memupuk semangat tanggungjawab bersama.
"Sudah tentu kumpulan sokongan komuniti ini perlu diberikan latihan asas penjagaan terlebih dahulu. Melalui kaedah ini, Kerajaan Negeri akan mempunyai keupayaan kewangan yang lebih anjal untuk membina lebih banyak pusat itu di kawasan lain," jelas beliau.
Yuran minimum elak salah guna kemudahan
Dalam pada itu, Yun Fah menyuarakan kebimbangan fungsi pusat tersebut disalahertikan segelintir masyarakat sehingga membebani kapasiti operasi jika ditawarkan secara percuma.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan struktur yuran nominal atau bayaran tertentu dikenakan kepada pengguna sebagai mekanisme kawalan kualiti dan mengelakkan salah guna kemudahan.
"Pusat ini perlu diwujudkan sebagai ruang santai untuk bersosial, bersembang atau bermain catur sementara menunggu ahli keluarga menjemput mereka pulang. Identiti ini perlu jelas dari awal agar ia tidak bertukar menjadi pusat lambakan warga emas," katanya.
Imbangi isu penuaan
Mengulas unjuran demografi, Yun Fah melihat kedudukan Selangor mendepani fasa penuaan masyarakat lebih positif berbanding negeri-negeri lain berikutan statusnya sebagai tumpuan migrasi.
"Selangor merupakan pusat tumpuan ekonomi yang menarik kemasukan tenaga kerja muda dari luar. Kehadiran populasi migran domestik ini secara tidak langsung membantu mengimbangi serta mengurangkan tekanan struktur penuaan penduduk," katanya.
Pada 2024, Selangor mencatatkan jumlah warga emas kelima tertinggi di Malaysia selepas Perak, Kedah, Sarawak dan Perlis dengan tiga daerah tertinggi direkodkan di Kuala Selangor, Sepang serta Hulu Langat.








