SHAH ALAM, 18 JUN: Projek perintis bagi pembangunan pusat kesejahteraan penjagaan sementara warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dijangka dilaksanakan Kerajaan Negeri suku keempat tahun ini.
EXCO kebajikan masyarakat berkata beberapa penelitian dan pengujian dibuat terlebih dahulu meliputi model operasi, bentuk perkhidmatan, keperluan sumber manusia dan kerjasama agensi.
Menurut Anfaal Saari, pentadbiran negeri mempertimbang untuk memperluas pusat berkenaan secara berperingkat ke kawasan lain jika projek perintis itu berkesan dan menerima sambutan positif.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan model yang dibangunkan benar-benar praktikal, mampan dan memenuhi keperluan masyarakat,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Media Selangor.
Jelasnya, pemilihan lokasi akan mengambil kira beberapa faktor termasuk kepadatan penduduk, kadar penuaan populasi, akses kemudahan kesihatan serta keperluan kawasan bandar dan luar bandar.

Anfaal berkata pihaknya turut meneliti kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjadikan pusat itu salah satu perkhidmatan nilai tambah di pusat kesihatan klinik kerajaan.
“Kerajaan Negeri juga mengkaji cadangan menambah baik serta memperkukuh pusat sehenti warga emas di peringkat pihak berkuasa tempatan dengan memasukkan elemen perkhidmatan penjagaan sementara.
“Selain itu, model operasi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat turut dijadikan rujukan, dengan pelaksanaan diselaraskan mengikut keperluan setempat,” katanya.
Dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 22 April, Anfaal memaklumkan cadangan mewujudkan pusat penjagaan sementara untuk warga emas dan OKU bagi membantu golongan penjaga, khususnya wanita.
Kaji pelbagai model pembiayaan
Pada masa sama, Anfaal berkata pelbagai model pembiayaan diteliti termasuk peruntukan kerajaan, kerjasama awam-swasta, sumbangan kebajikan serta sokongan rakan strategik dalam bidang berkaitan.
Menurutnya, pusat berkenaan dirancang berasaskan konsep tanggungjawab bersama dan kerjasama merentas sektor bagi menggabungkan sumber serta kepakaran pelbagai pihak.
“Pendekatan ini selaras Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang menekankan tanggungjawab penjagaan bukan hanya dipikul keluarga atau kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan sektor awam, swasta, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NG0), yayasan dan badan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan pusat tersebut juga berkemungkinan melibatkan NGO dan organisasi kebajikan berdaftar sebagai rakan pelaksana di peringkat komuniti.
“Matlamat Kerajaan Negeri adalah membangunkan model yang mampan dan tidak bergantung kepada bantuan sekali beri semata-mata, sebaliknya mampu beroperasi secara berterusan untuk memberi manfaat jangka panjang kepada warga emas dan penjaga,” katanya.
Selangor merupakan negeri pertama di Malaysia yang memperkenal Dasar Ekonomi Penjagaan bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan penjagaan warga emas dan menghadapi cabaran masyarakat menua.
Sebelum ini, Dato' Menteri Besar berkata isu penuaan penduduk menjadi cabaran besar kepada pentadbiran negeri berikutan jumlah penduduk yang tinggi di Selangor.
Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, tiga daerah di negeri ini iaitu Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat merekodkan kadar penduduk warga emas tertinggi.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan berusia 60 tahun ke atas hanya mewakili 5.5 peratus daripada jumlah penduduk negara pada 1970, manakala kumpulan berusia bawah 14 tahun mencatatkan 44.5 peratus.
Bagaimanapun, peratusan penduduk bawah 14 tahun menurun kepada 22.2 peratus pada 2024, manakala penduduk berusia 60 tahun ke atas meningkat kepada 11.6 peratus.
Tumpu latihan profesional
Dalam pada itu, Anfaal menjelaskan tenaga penjaga yang menerima latihan profesional merupakan antara komponen paling penting dalam perancangan pusat tersebut.

Menurutnya, ia memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dalam penjagaan warga emas, komunikasi berkesan, memahami keperluan penjaga keluarga serta pengurusan risiko asas.
“Justeru, aspek latihan, piawaian perkhidmatan dan sistem pemantauan kualiti akan diberikan perhatian khusus dalam pembangunan model ini.
“Kami mahu ahli keluarga yang menghantar warga emas ke pusat ini yakin orang tersayang dijaga dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan penuh kasih sayang,” katanya.
Mekanisme bayaran masih diteliti
Mengulas mengenai kadar bayaran, Anfaal berkata perkara itu masih dalam peringkat kajian dan penelitian bagi memastikan perkhidmatan tersebut diakses golongan yang memerlukan.
“Prinsip utama Kerajaan Negeri adalah memastikan perkhidmatan ini memanfaatkan mereka yang benar-benar memerlukan, khususnya warga emas dan keluarga penjaga yang berdepan tekanan masa, kewangan dan emosi,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri mahu memastikan perkhidmatan itu kekal mudah diakses dan mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Pendekatan bantuan berasaskan kitaran hidup

Dalam pada itu, Anfaal berkata Selangor sedang beralih kepada pendekatan bantuan berasaskan kitaran hidup berbanding penilaian yang hanya tertumpu kepada kategori pendapatan isi rumah seperti B40, M40 atau T20.
Menurutnya, kebanyakan warga emas tidak lagi mempunyai pendapatan tetap dan keperluan mereka tidak boleh dinilai berdasarkan kategori pendapatan semata-mata.
“Bagi perkhidmatan asas yang mempunyai fungsi sokongan sosial dan kebajikan, Kerajaan Negeri akan mengkaji mekanisme yang sesuai supaya ia terus terbuka kepada golongan rentan serta kekal mudah diakses dan mampu dibayar,” katanya.
Beliau berkata Selangor mungkin mempertimbang bayaran minimum atau yuran nominal bagi memastikan kelangsungan operasi bagi beberapa perkhidmatan nilai tambah.
“Namun, sebarang kadar bayaran yang ditetapkan kelak akan berasaskan prinsip munasabah dan mampu dibayar, tanpa membebankan keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Kerajaan Negeri tidak mahu model ini menjadi eksklusif atau hanya dinikmati golongan tertentu, sebaliknya ia perlu menjadi sebahagian sistem penjagaan yang lebih adil, inklusif dan mampan untuk rakyat Selangor,” katanya.









