SHAH ALAM, 17 JUN: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa kedua akan dibentang dalam sidang khas Dewan Negeri Selangor (DNS) selama tiga hari bermula 19 Jun.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pakej tersebut memberi tumpuan kepada usaha melindungi syarikat dan subsektor ekonomi yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Katanya, nilai peruntukan dijangka lebih besar berbanding fasa pertama ekoran ia melibatkan bantuan secara langsung kepada syarikat dan industri tertentu tetapi angka masih diperhalusi.
“Pakej fasa kedua itu dijangka melibatkan kos lebih besar berbanding fasa pertama kerana merangkumi cadangan pengecualian tertentu serta sumbangan kepada syarikat terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pakej Daya Tahan Selangor di bangunan pentadbiran negeri di sini pada 15 Jun.
Amirudin menjelaskan sidang khas tersebut menjadi medan Ahli Dewan Negeri (ADN) berbahas, meneliti dan memberi input terhadap pelbagai inisiatif yang dirangka pentadbiran negeri.
“Sidang ini diadakan tiga hari bagi memberi ruang secukupnya kepada ADN untuk membincang cadangan yang dikemukakan dan menambah baik pelaksanaan dasar yang dirancang,” katanya.
Dana RM131 juta disediakan dalam pakej fasa pertama yang diperkenal bagi menghadapi krisis di Asia Barat mulai 15 Jun. Selangor negeri pertama di negara ini mengadakan langkah sedemikian.
Amirudin semasa mengumumkan pakej berkenaan pada 16 Mac berkata ia bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan selain mengawal kadar inflasi daripada naik keterlaluan.
Pakej itu menyediakan bantuan bersasar kepada golongan rentan dengan menggunakan peruntukan negeri dalam Belanjawan Selangor 2026 yang disusun semula mengikut keperluan semasa.
Pada 7 Mei, beliau juga mengingatkan pihak berkaitan supaya kaedah pelaksanaan pakej tersebut dipermudah bagi memastikan bantuan disalur cepat tanpa membebankan rakyat yang memerlukan.
Beliau menegaskan langkah berkenaan penting supaya semua penerima antaranya golongan petani, pesawah, penerima baucar serta subsidi pengangkutan awam tidak berdepan prosedur rumit.








