Isu tanah Terminal Ketiga Pelabuhan Klang selesai, Selangor tunggu kelulusan Persekutuan

22 Jun 2026, 8:26 AM
Isu tanah Terminal Ketiga Pelabuhan Klang selesai, Selangor tunggu kelulusan Persekutuan

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan Negeri sudah menyelesaikan sepenuhnya isu pemilikan tanah bagi pembinaan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey sejak Disember tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses tersebut melibatkan kawasan pemilikan tanah seluas 2,500 ekar tanah di darat dan 1,700 ekar tanah di dasar laut.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, ketika ini Selangor masih menunggu ketetapan kerajaan Persekutuan berhubung isu pembangunan serta pemilikan hak pelabuhan berkenaan.

“Pandangan daripada penasihat undang-undang dan Peguam Negara yang mana tidak ada sebarang private port (pelabuhan swasta) yang diluluskan kepada Kerajaan Negeri, syarikat atau individu kerana pelabuhan mesti menjadi hak kerajaan Persekutuan.

"Jadi, kita sedang menunggu keputusan kerajaan Persekutuan berhubung hal ini kerana tanah kita sudah siapkan," katanya pada sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin yakin pelan pembinaan terminal ketiga Pelabuhan Klang itu dapat dilancarkan menjelang September depan, seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama syarikat terlibat telah bersedia untuk memulakan pembangunan sebaik sahaja kelulusan diberikan.

“Sekarang (kerajaan perlu) bagi kebenaran untuk pajak balik kepada kerajaan Persekutuan atau Persekutuan mahu tanggung kos. Sebab kosnya adalah anggaran RM100 juta untuk pemilikan tanah tersebut. Itu serahlah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Selangor sedang memperhalusi penyelesaian isu tanah bagi fasa awal pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.

Beliau dilapor berkata, proses berkenaan sedang diperincikan antara Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri bersama-sama pihak swasta yang melibatkan model konsesi.

Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey merupakan projek strategik yang penting bagi memperkukuh keupayaan ekonomi dan kedudukan negara dalam sektor pelabuhan serta logistik.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi berkaitan untuk bergerak pantas dalam merealisasikan pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.