Maal Hijrah 1448H: MB seru umat Islam hayati semangat perubahan

16 Jun 2026, 1:30 PM
Maal Hijrah 1448H: MB seru umat Islam hayati semangat perubahan

SHAH ALAM, 16 JUN: Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyeru umat Islam menghayati semangat hijrah dengan memperkukuh usaha memperbaiki diri dan masyarakat ke arah kebaikan serta keadilan sempena sambutan Maal Hijrah 1448H.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW merupakan detik bersejarah yang membawa mesej penting agar umat Islam sentiasa berusaha melakukan perubahan positif dalam kehidupan.

Menurutnya, semangat hijrah turut menjadi asas pentadbiran Kerajaan Negeri sejak 2008 menerusi pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

“Di Selangor, sejak tahun 2008 hingga kini, Kerajaan Negeri terus menjadikan Islah sebagai tekad dan asas pentadbiran. Pelbagai pembaharuan telah dibuat, sedang dan akan terus dilaksanakan,” katanya.

Amirudin berkata prinsip perkongsian kemakmuran negeri bersama rakyat merupakan antara agenda utama Islah ekonomi yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Jelasnya, pelbagai program dan inisiatif terus diperkenalkan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan.

Beliau turut mendoakan agar tahun baharu Islam 1448H membawa lebih banyak kemakmuran dan kebaikan kepada rakyat serta Negeri Selangor.

“Semoga tahun 1448H ini terus membawa kemakmuran dan kebaikan buat rakyat dan Negeri Selangor,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.