Sultan Selangor nasihat umat Islam sentiasa utamakan perpaduan

16 Jun 2026, 11:32 AM
Sultan Selangor nasihat umat Islam sentiasa utamakan perpaduan

SHAH ALAM, 16 JUN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengulangi nasihat dan pesanan agar umat Islam sentiasa mengutamakan perpaduan dalam menghadapi pelbagai cabaran sempena sambutan Maal Hijrah 1448H.

Baginda bertitah peristiwa hijrah yang menjadi titik permulaan takwim Islam bukan sekadar perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, sebaliknya simbol perubahan ke arah yang lebih baik serta penyatuan ummah.

“Beta masih mengingati pesanan Almarhum Ayahanda beta (Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) yang sering menasihatkan supaya kita tidak wash dirty linen in public.

“Maksudnya, jika terdapat sebarang masalah, perbezaan pandangan atau perkara yang perlu diperbetulkan, maka suarakanlah dengan penuh hikmah dan adab. Jika mahu memberi nasihat atau teguran, lakukanlah dengan cara yang baik dan berhemah,” titah Baginda dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1448H di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah sebarang isu yang timbul hendaklah diselesaikan melalui perbincangan secara tertutup dengan semangat saling menghormati serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

Baginda bertitah perkara yang boleh diselesaikan secara baik tidak seharusnya dibawa ke ruang awam sehingga mencetuskan pertelingkahan terbuka yang akhirnya hanya mendedahkan kelemahan umat dan bangsa kepada pandangan umum.

“Apabila kita bertengkar secara terbuka, pihak lain akan melihat kelemahan itu dan tidak mustahil ada yang mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku. Jika keadaan itu dibiarkan, tiada siapa yang akan benar-benar menang,” titah baginda.

Sempena sambutan Maal Hijrah, Sultan Sharafuddin turut menyeru seluruh umat Islam agar mengambil semangat hijrah untuk memperkukuhkan perpaduan, memperbanyakkan sikap toleransi serta mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Baginda berharap tahun baharu 1448 Hijrah akan membawa keberkatan, keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat serta menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.