SHAH ALAM, 16 JUN: Pendedahan kepada pelbagai aplikasi kecerdasan buatan (AI) menerusi Program Generatif AI anjuran Kerajaan Negeri membuka peluang kepada pelajar memperluas pengetahuan teknologi, sekali gus mengasah kemahiran berfikir dan berkomunikasi.
Program yang menghimpunkan 200 pelajar daripada sekolah agama, kebangsaan dan swasta seluruh Selangor itu turut menyaksikan tiga peserta dipilih sebagai pemenang berdasarkan idea kreatif serta hujah dikemukakan berkaitan penggunaan AI.
Juara, Soraya Sofya Nasarudin, 18, berkata program berkenaan membolehkannya mengenali pelbagai aplikasi AI yang sebelum ini tidak pernah digunakan selain platform popular seperti ChatGPT dan Gemini.
"Sebelum ini saya hanya menggunakan ChatGPT dan Gemini, tetapi melalui program ini saya dapat mengenali pelbagai aplikasi AI lain seperti Pexel dan Langflow.
"Saya belajar banyak perkara baharu mengenai AI dan bagaimana teknologi ini boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang," katanya kepada Media Selangor.

Tempat kedua dimenangi Adryana Marsha Muhammad Amin Yong, 16, yang membentangkan topik mengenai kebergantungan terhadap AI serta keperluan menilai maklumat sebelum menerimanya sebagai fakta.
Menurutnya, teknologi tersebut mampu membantu menyelesaikan pelbagai masalah, namun pengguna perlu meneliti setiap maklumat yang dijana.
"Langkah pertama ialah menyoal semula jawapan yang diberikan AI. Kedua, mendapatkan pandangan orang lain dan ketiga membuat penilaian sendiri sebelum menerima sesuatu maklumat.
"AI perlu digunakan sebagai alat bantuan, bukannya menggantikan pemikiran manusia," katanya yang bercita-cita menjadi ahli psikologi.
Beliau turut menyifatkan program seumpama itu dapat membantu meningkatkan literasi teknologi dalam kalangan belia kerana masih ramai yang belum mengetahui kepelbagaian aplikasi AI yang digunakan dalam industri.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Muhammad Zihni Ulwan Anizan, 16, menerusi pembentangan mengenai fungsi, kelebihan dan kekurangan AI serta peranannya dalam proses pembelajaran.
Katanya, pengalaman menyertai program berkenaan memberi pemahaman lebih mendalam mengenai penggunaan AI dalam kehidupan harian dan pembelajaran.
"Saya dapat belajar banyak perkara terutama cara menggunakan AI untuk pembelajaran dan pelbagai kegunaan lain.
"Saya berharap Kerajaan Negeri dapat meneruskan program seperti ini supaya literasi teknologi dalam kalangan belia dan remaja di Selangor dapat terus dipertingkatkan," katanya.
Beliau yang bercita-cita menjadi pakar bedah saraf berkata AI berpotensi membantu meningkatkan ketepatan dalam bidang perubatan termasuk prosedur pembedahan pada masa depan.

Terdahulu, program latihan Generatif AI yang berlangsung di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) baru-baru ini disertai 200 pelajar dari seluruh Selangor dan dijangka diperluaskan tahun depan dengan sasaran penyertaan sehingga 400 orang.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata peningkatan jumlah peserta itu selaras dengan usaha Selangor memperkukuh pembangunan bakat digital dan muncul sebagai negeri pelopor dalam penggunaan teknologi AI.
Menurutnya, program kali ini memberi tumpuan kepada pelajar tingkatan empat, lima dan enam dengan penyertaan daripada pelbagai latar belakang kaum serta jenis sekolah.









