Yayasan MBI bantu pelbagai pihak, agih lebih RM500,000

15 Jun 2026, 6:25 AM
Yayasan MBI bantu pelbagai pihak, agih lebih RM500,000

SHAH ALAM, 15 JUN: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan lebih RM500,000 kepada kira-kira 5,000 penerima daripada pelbagai latar belakang termasuk atlet, pesakit dan mangsa bencana sejak awal tahun ini.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan kewangan itu disalurkan secara berperingkat menerusi pelbagai sumber dana termasuk peruntukan bencana, pengupayaan dan zakat wakalah bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan.

Menurutnya, sebahagian besar peruntukan disalurkan kepada mangsa bencana memandangkan bantuan kecemasan melibatkan jumlah penerima yang ramai serta kos yang lebih tinggi.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemui media pada Majlis Serahan Sumbangan bersama Ketua Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan pada 15 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Untuk hari ini, yayasan peruntuk kira-kira RM36,200 bagi membantu 12 penerima. Dengan sumbangan ini kita harap dapat membantu mereka capai matlamat dan impian mereka.

“Saya kira lebih kurang setengah juta kita sudah berikan mengikut pelbagai jenis keperluan terutama sekali bencana, yang libatkan peruntukan lebih besar. Kalau banjir, ramai mangsa perlukan bantuan,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, Ahmad Azri menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada 12 penerima termasuk atlet permotoran muda, Rayqarl Alhayy Mohd Rahidi dan Muhammad Wazif Amsyar serta pesakit katarak, Roziah Jamal.

Atlet Sukan Permotoran Rayqarl Alhayy Mohd Rahidi, 12, bersama bapa Mohd Rahidi Ismail, 58, ketika Majlis Serahan Sumbangan bersama Ketua Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan pada 15 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Sementara itu, bapa Rayqarl Alhayy, Mohd Rahidi berkata bantuan diterima akan digunakan untuk membiayai yuran penyertaan Kejohanan MotoMini Malaysia pusingan kedua yang dijadual berlangsung minggu depan.

Menurutnya, sukan permotoran yang diceburi anaknya sejak berusia enam tahun memerlukan komitmen kewangan yang tinggi bagi membolehkan atlet muda itu terus bersaing pada peringkat lebih tinggi.

“Kedudukan Rayqall ketika ini dalam lima teratas. Rayqall juga sudah mewakili Selangor dalam beberapa kejohanan dan pada pusingan pertama MotoMini, dia dapat tempat kedua.

“Kita akan guna sumbangan ini untuk bayar yuran penyertaan. Semoga bantuan dari negeri ini dapat menyerlahkan lagi bakat Rayqall yang dijangka bermain di Sepanyol hujung tahun ini,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.