405kg sampah dikutip di Pantai Sungai Burong

15 Jun 2026, 5:54 AM
405kg sampah dikutip di Pantai Sungai Burong

SHAH ALAM, 15 JUN: Sebanyak 405 kilogram (kg) sampah kitar semula berjaya dikumpulkan di Pantai Sungai Burong, Tanjong Karang menerusi Program Cintailah Pantai Kita yang diadakan pada Sabtu lalu.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan sebanyak 200 pokok rhu turut ditanam dalam program yang dianjurkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

“Seramai 600 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, wakil agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat telah mengambil bahagian dalam program berkenaan.

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara kawasan pesisir pantai dan menjaga kelestarian alam sekitar. Antara pengisian utama program adalah aktiviti penanaman pokok rhu dan pembersihan pantai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebanyak 200 pokok rhu ditanam menerusi program yang disertai pelajar, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat. Foto Facebook MPKS

Menurut MPKS, program itu membuktikan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat mampu memberikan impak positif dalam usaha memelihara alam sekitar.

“MPKS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini dan berharap inisiatif seumpama ini akan terus diperkasa demi memastikan kawasan pantai sentiasa bersih, indah dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.