BERITA UTAMA

EXCO cadang wujud hari khas kutip sampah kitar semula di kawasan strata

26 Okt 2021, 2:39 PM
EXCO cadang wujud hari khas kutip sampah kitar semula di kawasan strata

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan satu hari khas bagi kerja kutipan barangan kitar semula di kawasan perumahan strata.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata usaha itu perlu bagi mendidik penduduk lebih berdisiplin bagi mengasingkan barangan terpakai berkenaan.

"Tempoh kutipan sampah kitar semula sekarang tiga kali seminggu atau mungkin secara harian tetapi kita cadang wujudkan satu hari khas.

"Ia supaya dengan cara itu mungkin mereka sudah tahu dan bersiap sedia pada hari apa perlu kumpulkan bahan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Nestlé Products Sdn Bhd dan KPT Recycle Sdn Bhd sempena program Kitar Semula Perumahan Strata di Wisma MBSA hari ini.

Pada masa sama, Rodziah menggalakkan aktiviti pengasingan barangan tersebut dilakukan bermula dalam kalangan suri rumah terlebih dahulu memandangkan golongan itu kerap menguruskan isi rumah.

"Pengasingan sampah ini perlu bermula daripada suri rumah supaya mereka tahu kaedah mengasingkannya mengikut kategori sekali gus bersama mendidik ahli keluarga yang lain," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.