Pernahkah anda meluangkan masa mendengar ceramah agama di media sosial, namun selepas beberapa minit, fokus anda mula melayang dan rasa bosan mula menguasai diri?
Bayangkan situasi ini, anda sedang duduk menantikan perlawanan hebat Piala Dunia 2026, namun sebaik sahaja wisel ditiupkan, kedua-dua pasukan hanya berdiri kaku di atas padang.
Tiada hantaran pendek yang kreatif, tiada larian deras mendebarkan dan tiada langsung percubaan menjaringkan gol selama 90 minit permainan. Anda pasti akan menutup skrin dengan perasaan hampa.
Cabaran serupa sebenarnya sedang melanda dunia dakwah kita hari ini. Mesej agama yang suci seringkali disampaikan dengan nada suara yang mendatar, tanpa sebarang visual sokongan serta berlangsung secara sehala berjam-jam tanpa ruang interaksi.
Fenomena kehilangan fokus ini mencerminkan satu cabaran besar dalam dunia komunikasi Islam kontemporari. Pendekatan tradisional yang kaku, tanpa elemen dinamik ibarat perlawanan bola sepak yang hambar kini mula terasa asing bagi generasi muda yang membesar dalam ekosistem gajet dan video pendek yang padat dengan emosi, warna serta penceritaan visual yang pantas.
Untuk memahami mengapa elemen visual begitu berkuasa mempengaruhi minda manusia, lihat sahaja kepada kehangatan sukan bola sepak Piala Dunia 2026 yang sedang melanda global ketika ini.
Mengapa berbilion-bilion manusia daripada pelbagai latar belakang sanggup terpaku di hadapan skrin melihat sekumpulan pemain mengejar sebiji bola? Jawapannya melampaui sekadar keputusan menang dan kalah di papan markah.
Bola sepak pada tahap tertinggi adalah sebuah persembahan seni visual yang sangat agung. Ada keindahan estetika yang memukau pada setiap hantaran silang yang tepat, kelancaran gerakan taktikal yang tersusun rapi, kreativiti sepakan lencong menembusi gawang hinggalah kepada reka bentuk jersi yang ikonik serta sorakan harmoni penyokong di stadium.
Sukan terhebat dunia ini membuktikan satu perkara iaitu apabila strategi yang bijak digabungkan dengan estetika gerak kerja yang cantik, ia mempunyai magis untuk mencuri perhatian sesiapapun. Jika industri sukan boleh menggunakan elemen seni kreatif ini untuk memikat hati dunia mengapa dunia dakwah digital kita masih mahu kekal kaku dan mendatar?
Formasi syarahan sehala
Malangnya, majoriti program dakwah digital hari ini dilihat masih terikat dengan kaedah syarahan sehala yang pasif. Model konvensional ini meletakkan pendakwah sebagai satu-satunya paksi maklumat mutlak manakala penonton sekadar menjadi pemerhati kaku tanpa pelibatan emosi mahupun intelek.
Apabila situasi hambar ini ditambah pula dengan kelemahan mengadaptasi ekosistem digital moden seperti TikTok dan Instagram Reels, kandungan dakwah kita akhirnya kelihatan kusam dan gagal menyengat jiwa masyarakat moden yang dahagakan kreativiti.
Sebaliknya, elemen keindahan fizikal ini bertindak sebagai sebuah jambatan rohani. Sama seperti rentak permainan bola sepak yang menghiburkan dalam Piala Dunia 2026, keindahan visual dalam dakwah akan menyelinap masuk ke dalam sanubari manusia terlebih dahulu.
Ia membuka pintu hati dengan penuh kelembutan sebelum mesej ilmu tersebut dihadam dengan baik oleh akal fikiran. Apabila seseorang menonton video dakwah yang digarap dengan nilai estetika yang tinggi, mereka berasa seperti sedang dihiburkan secara visual sambil jiwa mereka dijentik tentang kebesaran Ilahi.
Namun begitu, di sebalik keghairahan mengejar kepantasan digital, timbul pula trend kurang sihat yang sering kali meletakkan kandungan dakwah dalam kedudukan offside.
Demi mengejar jumlah tontonan dan tanda suka, segelintir pendakwah media sosial atau 'dai ekspres' dikesan menggunakan elemen seni secara sambil lewa. Kita kerap disajikan dengan video pendek yang menampilkan teknik suntingan gah tetapi pengisian ilmunya kosong serta dangkal. Ia ibarat sebuah pasukan kerdil yang hanya tahu membuat gimik pemasaran dan tayangan jersi mewah sebelum bermulanya Piala Dunia tetapi akhirnya pamer aksi hambar, longgar dan kucar-kacir seolah-olah hilang punca di atas padang perlawanan sebenar.
Selain isu etika, sistem penapisan algoritma media sosial zaman sekarang juga bertindak tegas ibarat pengadil perlawanan akhir World Cup yang dibantu oleh teknologi VAR (Video Assistant Referee). Kandungan yang dihasilkan secara tangkap muat akan dikesan dengan mudah.
Platform digital hari ini tanpa teragak-agak akan 'melayangkan kad amaran' dengan menghukum video yang tidak mesra estetika melalui sekatan jangkauan tontonan. Video yang malap, audio bising serta tanpa suntingan kreatif akan sukar bersaing di halaman utama pengguna. Mengabaikan elemen estetika dalam dakwah digital hari ini adalah umpama kita sengaja melakukan gol sendiri akibat salah faham taktikal yang akhirnya menyebabkan pintu gol kita dibolosi dengan begitu mudah.
Sentuhan elemen moden pada seni
Satu lagi realiti yang membuka mata kita ialah status warisan seni tradisi kita sendiri di mata generasi baharu. Anak muda hari ini ternyata lebih akrab dengan reka bentuk baju kelab bola sepak luar negara, karya lukisan jalanan kontemporari atau seni pop budaya asing berbanding motif tradisi pusaka bangsa seperti 'awan larat' atau 'keluk pucuk rebung'.
Kecenderungan ini berlaku bukanlah kerana mereka membenci seni warisan tanah air sebaliknya kerana kesenian tradisional ini amat jarang dihidangkan kepada mereka dalam bentuk yang segar, bertenaga dan relevan dengan gaya hidup semasa.
Lihat sahaja bagaimana jenama sukan gergasi dunia meraikan identiti budaya sesebuah negara menerusi rekaan jersi rasmi World Cup. Mereka mengambil elemen sejarah, mengadunnya dengan teknologi fabrik terkini lalu menghasilkan seni pakaian sukan yang sangat digilai oleh peminat global.
Pembaharuan strategi dalam penyampaian dakwah amat memerlukan gabungan formula yang seimbang, taktikal dan holistik. Ibarat mempersiapkan sebuah pasukan gergasi bagi menjulang trofi Piala Dunia, formula kejuaraan bagi mendepani cabaran zaman ini boleh dirumuskan seperti berikut:
Pendekatan ini bukanlah sekadar taktik bermusim yang akan luput ditelan masa. Sebaliknya, ia merupakan usaha murni untuk menyantuni sunnatullah dalam penciptaan manusia. Sejarah telah membuktikan bahawa hati manusia seperti juga peminat tegar bola sepak dunia paling mudah dilembutkan dan ditarik jiwanya melalui keindahan visual serta emosi yang menyentuh sanubari terdalam mereka.
Oleh itu, sudah tiba masanya kita beralih daripada paradigma lama. Aspek kesenian tidak sepatutnya lagi diletakkan di bangku simpanan atau dipinggirkan sebagai elemen kelas kedua dalam landskap dakwah. Sebaliknya, seni mesti diangkat sebagai kesebelasan utama dan laluan strategik yang serba indah untuk mengalirkan cahaya Ilahi terus ke lubuk hati masyarakat yang mendambakan kedamaian jiwa di era digital ini.
*Nik Mohd Nasrun bin Nik Abdullah ialah pelajar pascasiswazah program Sarjana Pengajian Islam (MIS) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.







