RS-2 perkenal pendekatan baharu perkasa belia Selangor

14 Jun 2026, 1:00 PM
RS-2 perkenal pendekatan baharu perkasa belia Selangor
RS-2 perkenal pendekatan baharu perkasa belia Selangor
RS-2 perkenal pendekatan baharu perkasa belia Selangor

KUALA LANGAT, 14 JUN: Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan pelbagai pendekatan baharu menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memastikan golongan belia terus disantuni dan diperkasa mengikut keperluan semasa.

EXCO Belia Najwan Halimi berkata, golongan muda pada era ini memiliki sifat yang lebih fleksibel sekali gus menuntut pentadbiran negeri untuk menyesuaikan pengisian dengan perubahan baharu yang lebih dinamik.

Beliau berkata, antara program yang sedang dirangka antaranya membabitkan sukan elektronik (e-sukan), aktiviti riadah serta sukarelawan yang kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup kumpulan belia.

“Segmen belia pada mutakhir ini berbeza, belia yang kita mahu santuni ini bukan sahaja yang berpersatuan tetapi juga kita perlu guna kaedah untuk dekati belia yang tidak berpersatuan.

EXCO Belia Najwan Halimi (tengah) berucap ketika perasmian Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Selangor di Kolej Matrikulasi Selangor, Banting pada 14 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kita perlu teroka strategi baharu untuk kita santuni anak muda di luar. Mereka ini dilihat lebih fleksibel dan biasanya mereka ini ada pendekatan dan kaedah tersendiri untuk bergerak dalam aktiviti,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Selangor di Kolej Matrikulasi Selangor, Banting di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi serta Presiden Majlis Belia Negeri Selangor, Dato’ Mohd Imran Tamrin.

Dalam pada itu, Najwan berkata Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Selangor menampilkan kelainan apabila penganjurannya buat julung kali diadakan di institusi pengajian tinggi.

EXCO Belia Najwan Halimi bersama penerima anugerah perdana belia ketika perasmian Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Selangor di Kolej Matrikulasi Selangor, Banting pada 14 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Malah, katanya, program tersebut turut mendapat kerjasama dan penglibatan pelajar sekali gus menjadikan proses pelaksanaannya dapat diterjemah dengan lebih bermakna.

“Alhamdulillah sambutan cukup baik, ada kelainan sedikit kerana kita adakan di Kolej Matrikulasi di Banting. Apa yang menarik, minggu lepas adalah pendaftaran mereka dan pelajar ini turut menyertai dan memberikan komitmen untuk menjayakan program ini,” katanya.

Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Selangor yang dijayakan bersama 46 rakan strategik menampilkan lebih 29 aktiviti menarik selama dua hari, dengan tema 'Menggerak Belia'.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.