KLANG, 15 JUN: Tourism Selangor menyasarkan peningkatan sehingga lima peratus kedatangan pelancong kapal persiaran tahun ini berbanding 173,000 penumpang yang direkodkan sepanjang 2025.
Pengurus Acara dan Pelancongan Fokusnya, M Raul Mustaffa berkata sasaran tersebut mampu dicapai menerusi pelbagai usaha promosi yang sedang dipergiatkan sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2026 selain peningkatan minat terhadap pelancongan kapal persiaran.
"Tahun lepas, sebanyak 110 buah kapal persiaran telah berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) dengan kehadiran kira-kira 173,000 penumpang.
"Kita berharap tahun ini kehadiran pelancong kapal persiaran meningkat antara tiga hingga lima peratus bersempena dengan kempen TMS 2026," katanya ketika ditemui selepas program Fam Trip Viking Yidun di sini, semalam.
Menurut beliau, antara usaha terbaharu yang dilaksanakan ialah kempen 'Surprising Selangor In 6 Hours' (SAIL Selangor) yang menjanjikan pengalaman untuk pelancong meneroka keunikan Selangor dalam tempoh singkat.
Katanya, kempen berbentuk video itu mengetengahkan destinasi pilihan di Klang, Shah Alam, Kuala Langat dan Subang Jaya yang boleh diterokai pelancong selepas berlabuh di PKCT.

"Kempen ini disiarkan melalui YouTube dan platform media sosial Tourism Selangor. InsyaAllah kita akan perluas pada papan iklan gergasi (billboard), terminal kapal serta dalam kapal persiaran," katanya.
Tambah beliau, PKCT bersama Tourism Selangor sebelum ini turut memperkenalkan produk pelancongan pelayaran menerusi pakej Berlin Oceanis Cruise - “Cruise to Nowhere”.
Menurutnya, pakej tersebut memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman menaiki kapal persiaran yang berlepas dari PKCT tanpa perlu ke destinasi luar negara, termasuk menikmati kemudahan penginapan di atas kapal, sajian makan malam serta pelbagai aktiviti rekreasi dan hiburan yang disediakan sepanjang pelayaran.
Terdahulu, kira-kira 700 penumpang kapal persiaran mewah Viking Yidun diraikan menerusi program Fam Trip berkenaan sebaik kapal itu berlabuh di PKCT.
Mereka turut disajikan persembahan kebudayaan sebelum dibawa melawat beberapa destinasi menarik di Selangor termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta Batu Caves di Gombak.
Pelancong terbabit juga dijadual mengunjungi beberapa lokasi ikonik di Kuala Lumpur antaranya Menara Berkembar PETRONAS dan Pasar Seni.
Viking Yidun merupakan kapal persiaran mewah milik syarikat pelayaran global terkenal, Viking Cruises yang mampu membawa hampir 1,000 penumpang pada satu-satu masa dan pertama kali berlabuh di PKCT.








