PKCT sedia manfaat peralihan laluan kapal persiaran ke Asia Tenggara

15 Jun 2026, 4:00 AM
PKCT sedia manfaat peralihan laluan kapal persiaran ke Asia Tenggara
PKCT sedia manfaat peralihan laluan kapal persiaran ke Asia Tenggara

KLANG, 15 JUN: Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) bersedia memanfaatkan peralihan laluan kapal persiaran antarabangsa ke Asia Tenggara susulan ketidaktentuan global yang berlaku ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alvin Geoffrey Alphonso berkata perkembangan itu membuka peluang kepada industri pelancongan kapal persiaran untuk berkembang sekali gus merangsang aktiviti ekonomi tempatan.

Menurutnya, beberapa syarikat kapal persiaran antarabangsa membatalkan pelayaran ke Asia Barat dan mengubah jadual perjalanan ke Asia Tenggara, khususnya ketika musim sejuk.

"Pada musim tersebut, mereka tidak dapat mengoperasikan kapal di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah atas faktor keselesaan penumpang, jadi mereka akan turun ke Asia Tenggara.

"Kita tidak melihat krisis Asia Barat sebagai ancaman, tetapi peluang bawa lebih ramai pelancong masuk dan berbelanja dalam negeri serta negara," katanya ketika ditemui selepas program Fam Trip Viking Yidun di PKCT semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PKCT, Alvin Geoffrey Alphonso (kanan) menyerahkan plak kepada Kapten Alex (kiri) sempena Fam Trip Viking Yidun di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang pada 14 Jun 2026. Foto PKCT

Mengulas mengenai kesan kenaikan kos bahan api, Alvin berkata syarikat kapal persiaran mungkin mengenakan surcaj tertentu, namun kebanyakannya telah melaksanakan strategi lindung nilai (hedging) sebelum konflik tercetus.

"Oleh itu, kos bahan api bunker telah ditentukan lebih awal melalui kaedah ini (hedging), sekali gus mengelakkan kos operasi terjejas teruk," katanya.

Beliau berkata langkah itu turut membantu memastikan harga tiket pelayaran kekal stabil walaupun berlaku ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global.

Dalam perkembangan sama, Alvin menjangkakan antara 130 hingga 140 kapal persiaran antarabangsa termasuk kapal tentera laut akan berlabuh di PKCT tahun ini berbanding 110 kapal yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Katanya, setakat suku pertama tahun ini, sebanyak 42 kapal persiaran berlabuh di terminal berkenaan dengan membawa 64,396 penumpang dari pelbagai negara.

"PKCT tekad beri perkhidmatan terbaik kepada syarikat kapal dan penumpang melalui jalinan kerjasama dengan Tourism Selangor serta Tourism Malaysia," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.