SHAH ALAM, 3 JUN: Pelbagai projek penambahbaikan kemudahan awam telah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sepanjang 2025 bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan serta kesejahteraan penduduk.
Wakil rakyatnya Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata usaha berkenaan merangkumi pelbagai kemudahan komuniti termasuk akses pejalan kaki, fasiliti sukan, rumah ibadah dan dewan penduduk.
"Antara projek yang telah disiapkan termasuklah kerja baik pulih gelanggang futsal di SS9 Sungai Way, pembinaan laluan pejalan kaki berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ara Damansara serta laluan berbumbung di Sekolah Rendah Kelana Jaya 1," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam masa sama, aspek kebajikan komuniti dan kemudahan rumah ibadah turut diberi perhatian menerusi beberapa kerja naik taraf yang dilaksanakan.
Menurut Dr Mohammad Fahmi, ia membabitkan kerja baik pulih bumbung dan tembok penghadang di Surau Al-Azhar, pembinaan struktur teduhan tambahan serta laluan tanjakan orang kurang upaya (OKU) di Surau As-Sakeenah, selain baik pulih pejabat urusan di Masjid Nurul Yaqin.
Menurut beliau kemudahan komuniti lain turut dipertingkat melalui kerja penambahbaikan dewan penduduk di Kampung Lindungan serta naik taraf pagar sempadan di Taman Mesra, Batu Tiga.
"Saya akan terus komited melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat demi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan selamat untuk semua," katanya.








