SHAH ALAM, 13 JUN: Program latihan Generatif Kecerdasan Buatan (AI) melibatkan pelajar sekolah di Selangor dijangka diperluaskan tahun depan dengan sasaran penyertaan sehingga 400 orang berbanding 200 peserta tahun ini.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, peningkatan jumlah peserta itu selaras dengan visi Selangor untuk muncul sebagai negeri pelopor dalam pembangunan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
Menurut beliau, program yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu menghimpunkan pelajar daripada pelbagai jenis sekolah termasuk sekolah agama, sekolah kebangsaan dan sekolah swasta.
Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai teknologi Generatif AI yang semakin berkembang dan digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor.
"Pada tahun ini kita himpunkan 200 pelajar dari seluruh Selangor untuk diberikan pengenalan mengenai penggunaan teknologi Generatif AI.

"Mereka juga menyertai pertandingan yang diadakan bagi memilih peserta terbaik dan kita bercadang menambah penyertaan kepada 400 peserta tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan program Generatif AI 2026 di Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) di sini, hari ini.
Dr Mohammad Fahmi berkata usaha membudayakan penggunaan AI dalam kalangan generasi muda penting bagi memastikan rakyat Selangor bersedia menghadapi perubahan teknologi yang semakin pesat.
Menurutnya, program kali ini memberi tumpuan kepada pelajar tingkatan empat, tingkatan lima dan tingkatan enam dengan penyertaan merentasi pelbagai latar belakang kaum serta jenis sekolah.
"Selangor mempunyai visi untuk menjadi sebuah negeri pelopor AI dan teknologi ini bukan sahaja akan digunakan dalam sektor industri, malah perlu diperkenalkan lebih awal kepada pelajar," katanya.










