Selangor bantu graduan IT tingkat kemahiran, tembusi pasaran kerja

13 Jun 2026, 4:33 AM
Selangor bantu graduan IT tingkat kemahiran, tembusi pasaran kerja

SHAH ALAM, 13 JUN: Kerajaan Negeri terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Program Place & Train IPv6 yang membantu graduan bidang Teknologi Maklumat (IT) meningkatkan kemahiran serta memperoleh penempatan pekerjaan dalam industri teknologi.

EXCO Sumber Manusia Papparaidu Veraman berkata program itu membabitkan 28 graduan yang mengikuti latihan dan pensijilan profesional bagi memenuhi keperluan industri digital yang semakin berkembang.

Beliau berkata usaha berkenaan selaras dengan hasrat Kerajaan Selangor untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong agenda pendigitalan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Program ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada graduan malah membantu meningkatkan kompetensi mereka melalui latihan dan pensijilan profesional yang diiktiraf industri.

“Kita berharap peserta yang mendapat manfaat daripada program ini dapat menyumbang semula kepakaran dan kemahiran yang diperoleh kepada pembangunan negeri khususnya dalam bidang teknologi, inovasi dan transformasi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi bersama peserta Program Place & Train IPv6 di Multimedia University (MMU), Cyberjaya, semalam.

Papparaidu turut merakamkan penghargaan kepada Telekom Malaysia (TM) atas komitmen berterusan syarikat itu menyediakan peluang penempatan pekerjaan kepada peserta program berkenaan.

Menurutnya, program yang dilaksanakan Unit Pemberdayaan Pekerjaan Selangor (UPPS) dan ADASTANETWORK itu membuktikan kerjasama Kerajaan Negeri, industri dan institusi latihan penting dalam membuka laluan kerjaya lebih jelas kepada graduan.

Pada masa sama, Papparaidu mengingatkan peserta supaya terus menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran memandangkan perkembangan teknologi yang pesat memerlukan tenaga kerja sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan serta cabaran baharu.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.