Jabatan Perhutanan Selangor nafi semua aktiviti pendakian dihentikan

13 Jun 2026, 4:09 AM
Jabatan Perhutanan Selangor nafi semua aktiviti pendakian dihentikan

SHAH ALAM, 13 JUN: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menafikan dakwaan semua aktiviti pendakian di negeri ini dihentikan, kata Ketua Penolong Pegawai Seksyen Hutan Lipur, Eko Park dan Taman Negeri.

Abdul Nasir Ismail berkata salah faham itu susulan pengeluaran notis penghentian sementara aktiviti ‘trans hiking’ dan ‘hiking compress’ disebabkan pendakian berisiko tinggi.

Beliau menjelaskan, ‘trans hiking’ merujuk kepada pendakian yang melibatkan lebih daripada satu gunung dan ada kalanya merentasi sempadan negeri.

Manakala ‘hiking compress’ ialah pendakian yang mengambil masa lebih sehari, namun diselesaikan dalam tempoh sehari.

"Sebenarnya aktiviti mendaki lain masih dibenarkan seperti biasa dan pendaki hanya perlu mendapatkan permit sekiranya lokasi berkenaan berada di bawah seliaan JPNS.

"Kita hanya menghentikan sementara aktiviti ‘trans hiking’ dan ‘hiking compress’ susulan insiden yang menimpa pendaki, Jaslinda baru-baru ini sebagai langkah keselamatan sehingga satu keputusan baharu dimaklumkan kelak," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Abdul Nasir memberitahu, tindakan itu pertama kali dilaksanakan JPNS kerana sebelum ini sebarang penutupan aktiviti pendakian biasanya hanya dibuat ketika musim tengkujuh pada penghujung tahun.

Menurutnya, kedua-dua aktiviti berkenaan sebelum ini tidak dibenarkan, namun mula diberi kelonggaran berikutan peningkatan permintaan dalam kalangan komuniti pendaki.

Namun JPNS mendapati kebanyakan kes pendaki sesat dan kemalangan direkodkan membabitkan aktiviti ‘trans hiking’ dan ‘hiking compress’.

"‘Trans hiking’ ini ada yang melibatkan laluan merentasi beberapa negeri dan ia lebih berisiko terutama jika disertai pendaki kurang berpengalaman.

“Memang aktiviti ini semakin mendapat sambutan, namun aspek keselamatan perlu diberi keutamaan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.