Tidak semua atlet berpeluang mewakili negara kelahiran dalam kejohanan besar termasuk Piala Dunia. Dalam era bola sepak moden, isu pemain dwiwarganegara semakin menjadi perhatian.
Bagaimanapun, peluang terhad dalam pasukan utama negara kelahiran memaksa pemain muda memilih kerakyatan negara asal keturunan keluarga mereka.
Situasi itu bukan sahaja mencetuskan perdebatan pelbagai pihak malah memberi dimensi baharu kepada landskap bola sepak antarabangsa.
Perubahan status warganegara dalam sukan bola sepak bermula pada abad ke-20 menerusi proses naturalisasi pemain asing.
Bimbang perkembangan itu bakal menjadi tidak terkawal, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terpaksa merombak peraturan secara berperingkat sejak 2004.
Badan induk bola sepak dunia itu memperkenalkan peraturan baharu yang mewajibkan pemain menunjukkan ‘hubungan yang jelas’ dengan mana-mana negara yang ingin diwakili.
Kemudian, peraturan FIFA membenarkan seseorang pemain mewakili mana-mana pasukan kebangsaan selagi pemain tersebut memiliki kewarganegaraan negara berkenaan.
Untuk menukar pasukan kebangsaan, syarat ditetapkan, pemain itu tidak pernah beraksi dalam perlawanan kompetitif untuk negara pertama (kecuali perlawanan persahabatan), dan mesti mendapat kelulusan FIFA.
Dengan kewujudan banyak kejohanan kompetitif seperti Nations League menggantikan perlawanan persahabatan, FIFA tampil memperkenalkan peraturan baharu pada 2021.
Bawah peraturan tersebut, pemain boleh menukar pasukan kebangsaan walaupun pernah bermain dalam pertandingan rasmi untuk negara pertama kecuali jika perlawanan pada peringkat kejohanan Piala Dunia atau kejohanan benua dengan syarat mereka hanya beraksi dalam tiga perlawanan kompetitif atau kurang, dan bermain sebelum mereka berusia 21 tahun.
Selain itu, pemain juga perlu melalui tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun sejak perlawanan kompetitif terakhir sebelum layak menukar pasukan kebangsaan. Tiada syarat tempoh masa dikenakan bagi perlawanan persahabatan.
Perubahan tersebut mengelakkan amalan ‘menyorok’ atau ‘mengikat’ pemain oleh sesebuah negara semata-mata untuk menghalang mereka mewakili negara lain.
Bagi menghangatkan lagi suasana Piala Dunia 2026, wartawan IZZAH HANNANI menyenaraikan beberapa pemain yang memiliki dwiwarganegara dalam sejarah bola sepak.
Ferenc Puskas (Hungari & Sepanyol)
Tonggak Real Madrid pada era 1950-an ini dianggap antara pemain terhebat sepanjang zaman dan penyerang terbaik dunia.

Beliau juga kapten kepada ‘Generasi Emas’ Hungari yang menang pingat emas Olimpik 1952 dan mara ke akhir Piala Dunia 1954.
Pada 1962, beliau memperoleh kewarganegaraan Sepanyol melalui proses naturalisasi dan membuat empat penampilan dengan tiga daripadanya dalam Piala Dunia.
Thiago Motta (Brazil & Itali)
Dilahirkan di Brazil dan beliau pernah bermain dua kali bersama Selecao pada 2003 sebelum mendapat kewarganegaraan Itali.

Beliau menyertai skuad Itali pada 2011 dengan 30 penampilan dan menjaringkan satu gol.
Motta beraksi dalam Piala Dunia 2014 serta Piala Eropah (Euro) termasuk muncul naib juara pada 2012.
Diego Costa (Brazil & Sepanyol)
Diego Costa yang lahir di Brazil layak mewakili Sepanyol selepas memperoleh kewarganegaraan negara itu.

Beliau bermain dua kali untuk Brazil pada 2013 sebelum beraksi pertama kali bersama La Roja setahun kemudian.
Beraksi dalam Piala Dunia 2014 dan 2018 bersama Sepanyol, beliau membuat 24 penampilan dan menjaringkan 10 gol.
Erling Haaland (England & Norway)
Meski dilahirkan di England, Haaland lebih cenderung mewakili Norway, negara yang menjadi tempat beliau membesar bersama keluarganya.

Penyerang tinggi lampai itu antara bakat muda yang kian menyinar di Eropah ketika ini dengan penyudah yang tajam di bahagian serangan.
Kontrak profesional bersama Molde FK pada 2016 membuka laluan kepada kejayaannya di pentas bola sepak antarabangsa.
Wilfried Zaha (England & Ivory Coast)
Zaha sempat beraksi dua kali dalam perlawanan persahabatan bersama England dengan jumlah masa bermain hanya 25 minit.

Selepas tidak lagi dipanggil mewakili Three Lions selama empat tahun, beliau memaklumkan FIFA untuk mewakili negara kelahirannya, Ivory Coast pada 2016.
Beliau menyertai The Elephants menjelang Piala Negara-negara Afrika pada 2017 dan sejak itu mencatat lebih 30 penampilan serta mencetak lima gol.
Declan Rice (Republik Ireland & England)
Dilahirkan di England, Rice layak mewakili Republik Ireland menerusi datuk dan nenek sebelah bapanya.
Beliau pernah mewakili Republik Ireland di peringkat remaja dan senior sebelum memilih England pada 2019.

Rice beraksi dalam semua tujuh perlawanan England di Euro 2020, di mana mereka tewas kepada Itali dalam perlawanan akhir.
Brahim Diaz (Sepanyol & Maghribi)
Kerjaya bola sepak tidak semestinya mengikut laluan yang lurus dan Brahim Diaz membuktikannya.
Beliau memulakan karier antarabangsa bersama Sepanyol dan menjaringkan gol ketika penampilan sulung bersama skuad senior.

Mempunyai keturunan Maghribi yang kuat, Brahim akhirnya memilih negara berkenaan dan menyertai skuad kebangsaan pada 2024.
Geoffrey Kondogbia (Perancis & Republik Afrika Tengah)
Pemain tengah Atlético Madrid ini mewakili Perancis 57 kali dalam pasukan remaja dan bermain lima perlawanan bersama skuad senior sejak 2013.

Memandangkan kesemua lima perlawanan itu bukan perlawanan kompetitif, Kondogbia masih layak mewakili Republik Afrika Tengah menerusi keturunan ibu bapanya.
Beliau membuat penampilan sulung bersama Republik Afrika Tengah pada 2018.
Jens Castrop (Jerman & Korea Selatan)
Dilahirkan di Dusseldorf, Jerman pada 2003, bapanya warganegara Jerman dan ibunya, Korea Selatan.

Beliau antara bakat pembangunan pasukan kebangsaan remaja Jerman bermula daripada bawah 16 tahun (B-16).
Melihat peluang yang lebih cerah di peringkat antarabangsa, beliau memutuskan menyertai Korea Selatan berbanding Jerman.
Alphonso Davies (Ghana & Kanada)
Beliau dilahirkan di Ghana selepas keluarganya melarikan diri daripada konflik di Liberia.

Davies memperoleh kewarganegaraan Kanada pada 2017, seterusnya mewakili skuad remaja sebelum dipanggil menyertai skuad senior ketika berusia 16 tahun.
Dalam penampilan sulung Piala Dunia 2022 di Qatar, beliau turut mencipta sejarah menjaringkan gol pertama Kanada dalam saingan tersebut.
Inaki Williams (Sepanyol & Ghana)
Pemain kelahiran Sepanyol ini membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada 2016.

Menjelang Piala Dunia 2022, beliau mengumumkan keputusannya untuk mewakili Ghana.
Lebih menarik, adiknya, Nico Williams, terus mewakili Sepanyol.
Alejandro Garnacho (Sepanyol & Argentina)
Dilahirkan di Madrid, Sepanyol, bakatnya digilap melalui sistem pembangunan bola sepak negara itu dan turut layak mewakili Argentina menerusi ibunya.

Beliau yang juga sebahagian skuad Argentina menjuarai Copa America 2024 bersama Lionel Messi.
Persaingan sengit di bahagian serangan menyebabkan peluangnya semakin terhad dan tidak disenarai ke Piala Dunia 2026.







