Bot karam: Nelayan terselamat selepas terapung 11 jam, ibarat ‘mati hidup semula’

12 Jun 2026, 12:23 PM
Bot karam: Nelayan terselamat selepas terapung 11 jam, ibarat ‘mati hidup semula’

CHUKAI, 12 JUN: Seorang nelayan yang terselamat selepas terapung selama 11 jam apabila bot dinaiki bersama dua rakannya karam dalam kejadian ribut di perairan Kerteh, kira-kira 27.9 batu nautika dari Kuala Kemaman pada Rabu mengakui dirinya ibarat “mati hidup semula”.

Mahadi Jusoh, 51, berkata setelah bot berkenaan tenggelam pada 12.30 tengah malam akibat dipukul ombak besar setinggi kira-kira dua meter, dia hanya berpaut pada penutup tong simpanan ikan sebelum ditemukan sebuah bot nelayan lain pada 10.30 pagi.

Katanya dalam keadaan hujan lebat dan gelap gelita itu, dia tidak dapat melihat tekong Azan Muda, 68, serta Nordin Mohammad, 61, dan hanya terdengar suara mereka sebelum hilang.

“Saya mendengar suara Nordin mengucapkan dua kalimah syahadah, manakala Azan pula meminta saya mencapai barangan yang terapung untuk menyelamatkan diri.

“Namun dalam tempoh kira-kira 30 minit, suara Nordin dan Azan tidak lagi kedengaran dan masa itu saya hanya berdoa semoga kami semua selamat," katanya ketika ditemui di Perumahan Rakyat Kampung Fikri di sini hari ini.

Mahadi berkata ingatan terhadap isteri dan anak-anak menjadi penguat semangat untuk terus bertahan menghadapi detik cemas berkenaan.

Katanya, azan turut dilaungkan beberapa kali sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang kebetulan berada di kawasan berkenaan selepas cuaca kembali cerah dan ombak semakin tenang.

"Saya mungkin akan lemas sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh satu hingga dua jam memandangkan saya ketika itu telah kekejangan otot dan keletihan," katanya.

Mahadi berkata kejadian itu menjadi mimpi ngeri paling buruk sepanjang hidupnya sejak bergelar nelayan seawal usia 14 tahun.

Katanya, walaupun terselamat, dia masih diselubungi keresahan memikirkan nasib dua rakannya yang masih hilang.

Sementara itu, isteri kepada Mahadi, Wan Siti Aishah Wan Yaakob, 50, berkata dia bersyukur suaminya terselamat dalam kejadian tersebut.

"Saya terkejut apabila suami menghubungi saya memaklumkan dia selamat selepas bot yang dinaiki tenggelam dan dua lagi rakannya hilang sejurus tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan.

"Selepas itu, saya memaklumkan kejadian yang menimpa suami kepada anak-anak dan kemudian menemani suami membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis sebelum dihantar ke Hospital Kemaman," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.