SHAH ALAM, 12 JUN: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selaku penaja rasmi program Sekolah e-Sukan SRG 2026 menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai usaha memperkasa pembangunan bakat muda dalam e-sukan secara lebih tersusun dan profesional.
Yayasan MBI menerusi perkongsian di Facebook berkata, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan melahirkan pemain e-sukan yang berdaya saing, malah membentuk disiplin, kepimpinan serta kemahiran digital yang selari dengan keperluan semasa.
“Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan belia dan industri digital, Yayasan MBI berbangga menjadi Penaja Rasmi Sekolah e-Sukan SRG 2026 dengan menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000.
“Ia melibatkan RM10,000 kepada setiap 10 buah sekolah yang terlibat. Sumbangan ini diharapkan dapat membantu memperkasa penyertaan pelajar dan melahirkan lebih ramai bakat e-sukan yang mampu mengharumkan nama Selangor serta Malaysia,” katanya.

Menurut Yayasan MBI, program tersebut diwujudkan bagi mengenal pasti, membimbing dan mengembangkan bakat muda dalam arena e-sukan secara lebih sistematik.
“Melalui latihan dan modul pembangunan yang komprehensif, program ini membuka peluang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran serta memahami potensi kerjaya dalam industri e-sukan yang semakin berkembang,” katanya.
Yayasan MBI turut berharap Sekolah e-Sukan SRG 2026 dapat menjadi platform melahirkan generasi juara masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dalam pertandingan, malah mempunyai sahsiah dan kepimpinan yang unggul.







