LUAS pantau industri di Subang, Puchong, pastikan sumber air terpelihara

12 Jun 2026, 8:56 AM
LUAS pantau industri di Subang, Puchong, pastikan sumber air terpelihara
LUAS pantau industri di Subang, Puchong, pastikan sumber air terpelihara

SHAH ALAM, 12 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan pemantauan pematuhan lesen Kemasukan dan Pelepasan Bahan Pencemar di kawasan perindustrian sekitar Subang Hi-Tech Industrial Park dan Taman Perindustrian Puchong Utama.

Pemantauan itu dilaksanakan bagi memastikan pemegang lesen mematuhi syarat serta had piawaian ditetapkan selain mengawal sebarang risiko pencemaran terhadap sumber air berhampiran kawasan operasi.

Pemeriksaan melibatkan aktiviti industri sebuah kilang memproses lampu diod pemancar cahaya (LED) dan sebuah gudang kayu yang beroperasi di kawasan berkenaan.

Menurut LUAS, pemantauan berkala penting bagi memastikan semua aktiviti industri yang berpotensi menghasilkan pelepasan bahan pencemar sentiasa berada dalam kawalan.

Katanya, pemeriksaan itu turut menjadi platform untuk memberi peringatan kepada pengusaha agar tidak menjalankan aktiviti yang boleh menjejaskan atau merisikokan sumber air.

“Pematuhan terhadap syarat lesen penting bagi memastikan pelepasan bahan pencemar sentiasa terkawal dan tidak memberi kesan kepada kualiti sumber air,” menurut agensi itu menerusi Facebook.

LUAS menjelaskan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan membantu memastikan tahap pematuhan industri sentiasa berada pada paras ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemegang lesen mematuhi syarat serta had piawaian yang ditetapkan.

“Keadaan ini membantu memastikan sumber air sentiasa berada dalam keadaan terjaga dan terkawal,” katanya.

Selain memastikan pematuhan lesen, usaha itu juga sebahagian daripada langkah pencegahan awal bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan sumber air di negeri ini.

LUAS turut mengingatkan semua pihak supaya terus peka terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar demi menjamin kelestarian sumber air untuk kegunaan masyarakat pada masa depan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.