ADN Rawang cadang lokasi WTE dipindah ke lokasi lebih sesuai

18 Nov 2025, 9:25 AM
ADN Rawang cadang lokasi WTE dipindah ke lokasi lebih sesuai

SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri dicadang menimbangkan beberapa lokasi lain bagi cadangan pembinaan Loji Sisa Kepada Tenaga (WTE) atau insinerator di Batu Arang, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang.

Chua Wei Kiat berkata antara tapak lain yang lebih sesuai adalah seperti di kawasan berhampiran tapak pelupusan sampah atau zon industri berat, berbanding lokasi yang hampir dengan kawasan kediaman dan sekolah.

“Saya menghargai hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pengurusan sisa pepejal, namun saya berpandangan lokasi cadangan ini perlu diteliti dengan lebih berhati-hati.

“Berdasarkan maklumat yang saya peroleh, tapak cadangan WTE ini berada sangat dekat dengan kawasan kediaman - dalam lingkungan sekitar satu kilometer daripada beberapa perumahan berhampiran.

“Kedudukan sebegini menimbulkan persoalan sama ada ia mungkin antara projek WTE paling hampir dengan kawasan kediaman di Selangor,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi membangunkan Pusat Latihan WTE yang dilengkapi kemudahan simulator pada tahun depan.

Langkah itu bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja dalam sektor pengurusan sisa pepejal selain menjadi platform latihan khusus untuk meningkatkan kemahiran pekerja terutama dalam aspek operasi dan penyelenggaraan loji WTE.

Februari lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata projek WTE di Batu Arang bakal dibangunkan sebagai Eco Park yang merangkumi pelbagai komponen tambahan, termasuk pusat penyelidikan inovasi.

Suee Lim berkata, projek berkenaan juga bakal memiliki ladang solar, pusat pendidikan tenaga hijau, selain kemudahan seperti taman rekreasi untuk penduduk setempat.

Sementara itu, Wei Kiat turut mencadangkan Kerajaan Negeri membuka libat urus kepada rakyat dalam proses merangka belanjawan negeri pada masa hadapan bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada sasaran.

Menurutnya, pendekatan itu boleh disusun mengikut sektor antaranya seperti pelaburan, perumahan, pendidikan, kesihatan, komuniti, belia atau digitalisasi, supaya input yang diterima lebih tepat dan berkualiti.

“Penyertaan awam ini bukan sekadar simbol atau hiasan demokrasi. Ia akan menjadikan belanjawan Selangor lebih matang, lebih realistik dan lebih dekat dengan realiti hidup rakyat,” katanya.