ad

MB: Stigma nuklear perlu dibuang, seperti WTE yang kini diterima

22 Nov 2025, 1:01 AM
MB: Stigma nuklear perlu dibuang, seperti WTE yang kini diterima
MB: Stigma nuklear perlu dibuang, seperti WTE yang kini diterima

SHAH ALAM, 22 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat perlu membuang stigma terhadap tenaga nuklear, sebagaimana yang berlaku terhadap teknologi sisa kepada tenaga (WTE) yang pada awalnya dibantah tetapi akhirnya diterima sebagai penyelesaian pengurusan sisa.

Dalam podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, Amirudin menjelaskan bahawa tenaga nuklear ialah sumber tenaga bersih dan boleh menjadi pilihan apabila negara berdepan kekurangan sumber fosil seperti gas dan arang batu.

“Satu ketika dahulu juga banyak orang membantah tentang waste-to-energy, dan akhirnya sekarang orang terpaksa terima waste-to-energy sebagai penyelesaian. Saya percaya nuklear juga akan pergi ke arah yang sama,” katanya.

Beliau menjelaskan komitmen Selangor bukan membina loji nuklear dalam tempoh lima tahun, tetapi menyediakan asas persediaan sepanjang tempoh tersebut.

“Saya kata lima tahun adalah proses persediaan sebelum kita memulakan selepas lima tahun. Sebab itu kita hantar pelajar ke Tsinghua, dan kita tambah RM1 juta untuk kos sara hidup di sana,” katanya.

Amirudin turut menyentuh mengenai keselamatan loji nuklear, termasuk penggunaan reaktor modular yang ditempatkan di tengah laut seperti yang digunakan beberapa negara.

“Kebiasaannya loji dibina berhampiran laut, tetapi ada negara yang menggunakan modular di tengah-tengah laut jauh daripada daratan dan manusia. Mungkin itulah yang kita akan laksanakan dan perkenalkan.

"Sudah pasti rujukan kita kalau di negara Eropah tu Perancis pengeluar yang paling baik dan juga saya rasa China," katanya.

Beliau turut mengulangi bahawa Selangor perlu membuat persiapan awal memandangkan keperluan tenaga di Lembah Klang adalah tinggi.

“Mengikut analisis, 47 peratus tenaga yang digunakan seluruh Malaysia datang dari Lembah Klang. Kalau kita tidak bersedia menyediakan tenaga yang konsisten dan lestari, ini cabaran besar pada masa depan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia menghadapi tekanan politik berkaitan isu nuklear, Amirudin menjelaskan bahawa perkembangan teknologi menyebabkan persepsi masyarakat berubah dan kerajaan perlu meneliti opsyen yang ada.