Suri rumah rugi hampir RM100,000 terperdaya tawaran kerja palsu

12 Jun 2026, 12:41 AM
Suri rumah rugi hampir RM100,000 terperdaya tawaran kerja palsu

SHAH ALAM, 12 JUN: Suri rumah kerugian hampir RM100,000 selepas menjadi mangsa sindiket tawaran kerja palsu yang memperdayakannya melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 37 tahun tertarik dengan iklan pekerjaan yang dilihat di Facebook pada 8 Mei lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian menekan pautan yang disediakan sebelum berurusan dengan individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata mangsa ditawarkan kerja sambilan dengan janji pulangan pendapatan lumayan dan seterusnya diminta menyertai kumpulan Telegram untuk melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Mangsa diminta menyertai kumpulan di aplikasi Telegram bagi menambah rakan selain diberi beberapa tugasan dan turut diberi bayaran.

“Untuk tugasan pertama dan yang kedua mangsa mendapat pulangan sebanyak RM85,” katanya, lapor Harian Metro.

Azli berkata, selepas menerima bayaran awal itu, mangsa semakin yakin dengan tawaran berkenaan dan terus melaksanakan tugasan seperti diarahkan.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat tujuh transaksi secara berperingkat ke tujuh akaun berbeza antara 8 hingga 18 Mei lalu.

Bagaimanapun, mangsa hanya menerima komisen RM85 bagi dua tugasan awal sebelum menyedari dirinya diperdaya sindiket terbabit.

Akibat penipuan itu, mangsa mengalami kerugian RM95,715 yang melibatkan wang simpanan peribadi miliknya bersama suami.

Azli berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 6.02 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.