Suri rumah: Bolehkah dikira ‘gaji pekerja’ rumah tangga yang sentiasa berbakti?

1 Mei 2026, 12:00 PM
Suri rumah: Bolehkah dikira ‘gaji pekerja’ rumah tangga yang sentiasa berbakti?

Setiap kali menjelangnya tarikh 1 Mei, para pekerja sektor kerajaan mahupun swasta akan bercuti bagi meraikan Hari Pekerja.

Garis masa media sosial akan dipenuhi dengan ucapan penghargaan, keluhan tentang bebanan kerja di pejabat, dan perbincangan mengenai kenaikan gaji minimum. 

Namun, di sebalik angka-angka slip gaji, bonus tahunan, dan caruman bulanan yang dinantikan oleh pekerja sektor formal, pernahkah kita terfikir jika pengurusan rumahtangga itu diiklankan sebagai satu jawatan rasmi, berapakah agaknya gaji yang layak dibayar kepada mereka dalam Ringgit Malaysia (RM)?

Persoalan ini bukan sahaja relevan untuk suri rumah sepenuh masa, malah ia turut mencerminkan realiti wanita bekerjaya yang terpaksa menggalas "syif kedua" di rumah sejurus tamat waktu pejabat.

Mari kita nilai kudrat wanita-wanita hebat ini dari sudut logik ekonomi dan nilai pasaran semasa.

Kalkulator 'gaji' rumahtangga

Bayangkan sebuah keluarga perlu mengupah pihak ketiga untuk menguruskan segala tugasan yang dilakukan oleh seorang isteri atau ibu setiap hari. Mari kita buat kira-kira ringkas berdasarkan kadar pasaran semasa:

Pertama, khidmat “pengasuh” untuk menjaga, memandikan, dan memantau keselamatan anak-anak. Di bandar-bandar besar, kosnya boleh mencecah RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. 

Kedua, khidmat “pembantu rumah atau tukang cuci” untuk menyapu, mengemop, membasuh, dan melipat pakaian gundah-gulana seisi keluarga nilainya sekitar RM800 sebulan. 

Ketiga, khidmat “tukang masak atau katering” untuk tiga kali waktu makan sehari. Kos minimum harian RM30 didarab dengan 30 hari sudah mencecah RM900. Belum lagi dikira khidmat “pemandu peribadi” yang mengambil dan menghantar anak ke sekolah (RM300), serta khidmat “guru tuisyen persendirian” yang menyemak kerja sekolah anak-anak pada waktu malam (RM400). 

Jika dicongak secara kasar, nilai perkhidmatan pengurusan domestik ini dengan mudah melepasi angka RM3,400 hingga RM4,000 sebulan! Malah, nilai ini tidak termasuk 'bayaran kerja lebih masa' (overtime) apabila anak demam di tengah malam atau bertugas pada hari minggu.

Bagi suri rumah sepenuh masa, keseluruhan nilai ini disumbangkan melalui keringat mereka setiap hari.

Manakala bagi wanita bekerjaya, separuh daripada gaji hakiki mereka di pejabat sering kali habis dibelanjakan untuk menampung kos perkhidmatan pihak ketiga ini, dan selebihnya (seperti memasak, mendidik anak, dan mengemas rumah pada waktu malam) tetap dilakukan sendiri melalui "syif kedua" mereka.

Dalam terma ekonomi moden, ini dipanggil sebagai “unpaid care work” (kerja penjagaan tidak bergaji).

Bukan mengeluh, tetapi fitrah manusia yang boleh penat

Satu hakikat penting yang perlu kita perjelaskan di sini adalah apabila kita meletakkan "tanda harga" pada tugasan ini, ia bukanlah bermaksud para wanita mengeluh, berkira, atau mahu menuntut bayaran tunai daripada suami. Sama sekali tidak. Mereka menggalas tugas sebagai isteri dan ibu dengan penuh rasa cinta, keikhlasan, dan tanggungjawab.

Namun, cinta dan keikhlasan tidak menjadikan mereka kebal daripada rasa lelah. Tubuh suri rumah sepenuh masa yang bekerja lebih 15 jam sehari tanpa henti pasti akan terasa lenguh. 

Begitu juga dengan minda wanita bekerjaya yang terpaksa bertukar fungsi secara drastik, daripada mod 'pekerja cemerlang mengejar KPI di pejabat' kepada 'ibu yang penyayang di rumah'. Kedua-dua kumpulan ini terdedah kepada risiko “burnout”.

Oleh sebab itu, mereka berhak dan sangat layak untuk diberikan waktu rehat. Cuti atau “me-time” bukanlah satu kemewahan, sebaliknya ia adalah satu keperluan asas. Sokongan suami untuk mengambil alih tugas menjaga anak, atau polisi kerja yang lebih fleksibel bagi ibu bekerjaya, sudah cukup menjadi 'bonus tahunan' yang paling bermakna buat mereka.

Pengiktirafan melangkaui slip gaji

Menyedari besarnya nilai ekonomi pengurusan rumahtangga, tidak hairanlah kerajaan kini mula melaksanakan inisiatif seperti caruman i-Suri KWSP dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) PERKESO. 

Ini adalah satu pengiktirafan rasmi bahawa wanita yang menguruskan keluarga juga berdepan dengan risiko pekerjaan dan memerlukan jaminan masa depan.

Selamat Hari Pekerja, nadi cinta rumahtangga yang tidak pernah berhenti berdegup!

Nina Nazliana binti Zolkapli ialah pelajar Program Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Kuala Lumpur. 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.