SHAH ALAM, 12 JUN: Persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kini memasuki fasa pecutan terakhir dengan keseluruhan persediaan mencapai kira-kira 95 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata kemajuan itu meliputi aspek logistik, sistem pengurusan pertandingan serta kerja naik taraf fasiliti dan venue yang akan digunakan sepanjang temasya berlangsung.
"Saya boleh katakan dari segi persiapan logistik, kita sebenarnya telah berada di tahap akhir persiapan, saya boleh katakan sebanyak 95 peratus telah pun selesai.
"Pada Julai nanti, kita akan mengadakan lawatan tapak bagi memastikan persiapan venue dan fasiliti yang dipilih untuk penganjuran sukan di setiap daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berada dalam keadaan terbaik," katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, persiapan teknikal termasuk sistem pengurusan pertandingan, pemarkahan serta peralatan sukan yang diperlukan juga hampir selesai sepenuhnya.

"Dari segi persiapan logistik dan teknikal seperti sistem permarkahan permainan serta peralatan berkaitan sukan dan pensijilan daripada badan sukan, semuanya telah hampir selesai.
"Secara keseluruhannya, saya boleh anggap persiapan kita berada pada tahap yang begitu baik," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata persiapan atlet kontinjen Selangor yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri turut memasuki fasa akhir.
Katanya, atlet terus diberikan pendedahan menerusi penyertaan dalam pelbagai kejohanan bagi memastikan mereka berada pada tahap prestasi terbaik menjelang temasya berkenaan.
"Ini sebagai salah satu persiapan untuk memastikan atlet kita berada pada tahap prestasi terbaik sewaktu SUKMA dianjurkan pada Ogos nanti," katanya.
SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, sementara PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dengan 316 acara yang berlangsung di daerah Petaling dan Klang.









