Sakti, Seri lambang kekuatan dan keindahan SUKMA Selangor 2026

7 Jun 2026, 3:00 AM
Sakti, Seri lambang kekuatan dan keindahan SUKMA Selangor 2026
Sakti, Seri lambang kekuatan dan keindahan SUKMA Selangor 2026
Sakti, Seri lambang kekuatan dan keindahan SUKMA Selangor 2026

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Nama “Sakti” dan “Seri” dipilih sebagai maskot rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bagi melambangkan kekuatan, keindahan dan semangat yang ingin dibawa sepanjang temasya sukan itu.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata maskot helang putih jantan diberi nama “Sakti” yang membawa maksud kekuatan serta kuasa luar biasa dalam konteks Bahasa Melayu klasik.

“Sakti melambangkan kekuatan. Dalam Bahasa Melayu klasik, ia membawa maksud mempunyai magical power atau kuasa luar biasa.

“Kita mengharapkan simbolik nama ini dapat memberikan semangat serta motivasi kepada atlet untuk mempamerkan bakat dan kekuatan mereka dalam sukan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Nama Maskot, Lagu Tema dan Larian Obor SUKMA Selangor 2026 di Dataran Malawati, Pekan Lama, malam tadi.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ketika ditemui media selepas pelancaran lagu tema dan maskot rasmi SUKMA Selangor 2026 di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada 6 Jun 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, Mohd Najwan berkata maskot helang putih betina dinamakan “Seri” yang sinonim dengan kecantikan, keindahan dan keanggunan.

“Perkataan ‘Seri’ sering dikaitkan dengan kecantikan dan keindahan. Ia simbol kepada wanita serta melambangkan keanggunan yang ingin kita tonjolkan.

“SUKMA bukan hanya medan mempertaruhkan kekuatan, tetapi pada masa sama menzahirkan mutu dan nilai yang indah,” ujarnya.

Pada 10 Mei lalu, program Jelajah Larian Obor SUKMA ke-22 dan PARA SUKMA 2026 membuka tirai di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi menyemarakkan semangat kesukanan menjelang temasya sukan itu pada Ogos depan.

Selepas melalui Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor, jelajah itu akan singgah di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Selayang, Ampang Jaya, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat sebelum berakhir di Sepang pada 9 Ogos.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.