SHAH ALAM, 11 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengarahkan penutupan tiga premis kitar semula di sekitar Batu 22 dan Batu 23, Ijok selepas didapati beroperasi tanpa lesen serta melanggar peraturan alam sekitar.
MPKS memaklumkan tindakan itu diambil menerusi Operasi Bersepadu Premis Barangan Kitar Semula yang dijalankan selama lima jam bermula 9 pagi tadi dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak tiga premis barangan kitar semula telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan yang dilakukan.
“Antaranya melibatkan operasi perniagaan tanpa lesen, pembakaran terbuka, kebersihan kawasan premis yang tidak memuaskan serta pengurusan buangan elektrik dan elektronik yang tidak mematuhi peraturan semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut MPKS, pihaknya turut mengeluarkan kompaun, notis arahan, notis memberhentikan perniagaan dan melaksanakan tindakan sitaan terhadap beberapa peralatan serta jentera yang digunakan di premis berkenaan.
Tambahnya, tiga premis yang diperiksa diarahkan tutup, selain empat kompaun dan lapan notis dikeluarkan kepada pemilik premis termasuk dua tindakan sitaan.
Malah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengambil tindakan berkaitan pengurusan buangan elektrik dan elektronik serta larangan pembakaran terbuka, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu dari aspek kawalan keselamatan.
“MPKS akan terus memperkukuhkan usaha penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan di Kuala Selangor mematuhi syarat pelesenan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.







