SHAH ALAM, 13 MAC: Dengan besi pengungkit di tangan, seorang petugas perlahan-lahan mengangkat penutup longkang di tepi jalan.
Sebaik sahaja penutup itu terbuka, bau kuat daripada air hitam bercampur lumpur dan sisa makanan terus menusuk hidung.
Bagi kebanyakan orang, situasi itu mungkin cukup membuatkan mereka menjauhkan diri. Namun bagi petugas kebersihan, mereka sudah lali dengan rutin tersebut.
Itulah hakikat yang dilalui Muhammad Izzah Md Kamal, 38, yang bertugas sebagai pemandu serta pekerja pembersihan longkang.

Akuinya, cabaran sebenar bermula apabila mereka berdepan longkang yang sudah lama tersumbat serta dipenuhi lumpur dan sisa makanan.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih sukar terutama di kawasan kedai makan apabila longkang dipenuhi sisa minyak dan lemak yang mengeras sehingga menyukarkan proses pembersihan.
“Kadang-kadang longkang sudah bertahun-tahun tersumbat. Bila kita buka penutup longkang, bau yang keluar sangat kuat dan di dalamnya penuh dengan lemak serta sisa makanan yang sudah lama terkumpul.
“Kerja itu memang memerlukan tenaga dan kesabaran kerana kami perlu membersihkannya sedikit demi sedikit sehingga aliran air kembali lancar,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau ditemui pada Majlis Santunan Ramadan Bersama Pekerja Sektor Pembersihan anjuran Yayasan Amal Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) dengan kerjasama KDEB Waste Management melalui anak syarikatnya KDEB ICI Sdn Bhd di Shah Alam pada Khamis (12 Mac).
Majlis itu adalah program tahunan Yayasan Amal ASAS yang dijalankan di serata negeri pada setiap bulan Ramadan sejak tahun 2022 (1443H).
Kerja kotor, berisiko dan mencabar

Sementara itu, Muhamad Sharul Sapari, 39, yang juga pemandu lori kutipan sampah berkata pekerjaan dalam sektor pengurusan sisa antara bidang yang mencabar kerana pekerja terdedah kepada pelbagai risiko setiap hari.
“Kerja dalam sektor ini memang mencabar kerana kami berdepan dengan pelbagai jenis sisa buangan setiap hari. Bau yang tidak enak itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin kami.
“Selain itu, kami juga perlu sentiasa berhati-hati kerana risiko kemalangan boleh berlaku, terutama ketika lori berhenti di tepi jalan untuk mengutip sampah,” katanya.
Tambahnya, sektor pengurusan sisa sering dikaitkan dengan pekerjaan 3D iaitu dirty, dangerous dan difficult (kotor, berbahaya dan sukar) yang tidak semua orang sanggup melakukannya.
Cabaran di kawasan perumahan

Bagi Mohd Ashri Nor, 62, yang sudah lama memandu lori kutipan sampah, cabaran utama sering datang daripada keadaan di kawasan perumahan.
Menurutnya, kenderaan yang diparkir terlalu rapat di bahu jalan sering menyukarkan lori untuk masuk mengutip sampah.
“Kadang-kadang kereta parkir terlalu rapat di tepi jalan, jadi lori susah hendak masuk. Kami terpaksa berhati-hati dan mengambil masa lebih lama untuk mengutip sampah di kawasan tersebut,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran setiap hari, mereka tetap menjalankan tugas tanpa banyak keluhan.
Bagi mereka, kepuasan sebenar bukan sekadar menyelesaikan kerja harian, tetapi melihat kawasan yang sebelumnya kotor kembali bersih.
Kerana di sebalik bandar yang selesa dan persekitaran yang bersih, ada insan yang bekerja dalam diam demi memastikan kebersihan terus terpelihara.










