KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Jaguh larian menara negara Soh Wai Ching menyasarkan untuk mencatat masa lebih pantas pada pendakian Menara Merdeka 118, sekali gus memperbaharui rekod peribadinya pada edisi kedua acara itu yang dijadual berlangsung pada 22 Ogos ini.
Wai Ching, yang muncul juara edisi sulung tahun lalu dengan catatan 15 minit 37 saat selepas menamatkan pendakian 2,845 anak tangga merentasi 118 tingkat, kini memasang sasaran untuk mencatat masa di bawah 15 minit 20 saat di gelanggang sendiri.
Beliau berkata peluang menjalani latihan di Menara Merdeka 118 sebelum pertandingan memberikan keyakinan untuk mencapai sasaran itu, meskipun mengakui berdepan tekanan tinggi sebagai pelari pilihan.
"Cabaran terbesar saya tahun ini ialah Menara Merdeka 118 kerana ia berlangsung di laman sendiri dan semua orang mengharapkan saya menang.
"Saya juga berharap dapat mencatat masa di bawah 15 minit 20 saat, lebih-lebih lagi kami mempunyai kelebihan menjalani latihan di situ, sedangkan peserta lain tidak berpeluang berbuat demikian. Saya yakin mampu melakukannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman pelantikannya sebagai duta baharu jenama Next Energy di sini hari ini.
Pada majlis sama, atlet berusia 31 tahun itu turut menerima tajaan tahunan bernilai RM150,000 sebagai suntikan semangat bagi menghadapi jadual pertandingan yang padat di dalam dan luar negara.
Sokongan itu merangkumi perbelanjaan berkaitan pertandingan, termasuk kos perjalanan, peralatan serta keperluan persiapan lain sepanjang musim.
Selain Menara Merdeka 118, Wai Ching akan memulakan siri perlumbaannya menerusi Kuantan 188 Tower Run di Kuantan, Pahang pada 1 Ogos.
Beliau kemudian dijadual beraksi dalam International Vertical Marathon @ Guangzhou Yingkai Plaza di Guangzhou, China pada 8 Ogos sebelum menyertai Sedona Sky Run di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 9 Ogos.
Kempen pendakian antarabangsanya diteruskan menerusi Metropolitan Sky Race di Barcelona, Sepanyol pada 3 Okt sebelum menutup musim dengan menyertai Empire State Building Run-Up edisi ke-48 di New York, Amerika Syarikat pada 6 Okt.







