Temu duga bersemuka, 4,000 jawatan ditawarkan di Karnival JobCare Selangor

10 Jun 2026, 2:48 AM
Temu duga bersemuka, 4,000 jawatan ditawarkan di Karnival JobCare Selangor

SHAH ALAM, 10 JUN: Karnival Jelajah JobCare Selangor membuka peluang kepada pencari kerja untuk ditemu duga secara bersemuka bersama majikan pada 13 Jun ini.

Program yang berlangsung di Dewan Seri Siantan Selayang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang itu menghimpunkan majikan daripada pelbagai sektor bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada orang ramai, selain memudahkan proses pemadanan pekerjaan secara terus.

EXCO Sumber Manusia V. Papparaidu berkata, sesi temu duga bersemuka memberi peluang kepada pencari kerja berinteraksi secara langsung dengan bakal majikan serta mendapatkan maklum balas dengan lebih cepat.

"Melalui karnival ini, peserta bukan sahaja boleh memohon pekerjaan, malah berpeluang menghadiri sesi temu duga secara terus dengan majikan yang mengambil bahagian.

"Lebih 20 majikan daripada pelbagai sektor ekonomi dijangka mengambil bahagian dalam karnival itu dengan ribuan peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja menerusi sesi temu duga secara bersemuka," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau berkata program berkenaan turut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kerjaya, selain membantu orang ramai membuat pendaftaran MYFutureJobs.

"Golongan belia, graduan baharu dan individu yang sedang mencari pekerjaan supaya hadir dan memanfaatkan peluang yang tersedia.

"Ayuh manfaatkan peluang ini untuk membina masa depan kerjaya yang lebih cemerlang. Jumpa anda di sana!," katanya.

Peserta yang hadir turut disaran membawa resume terkini, salinan sijil berkaitan serta berpakaian kemas bagi menghadiri sesi temu duga.

Karnival itu menyasarkan sehingga 4,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor, selain menampilkan dua segmen utama iaitu JobCare Istimewa dan JobCare Premium.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar memaklumkan karnival jelajah itu akan ditambah baik tahun depan, termasuk melibatkan program pensijilan dan pembangunan kemahiran.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan dalam usaha menangani isu pengangguran.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.