SHAH ALAM, 9 JUN: Pemegang taruh dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor perlu memainkan peranan secara berakauntabiliti bagi memastikan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor dan Pelan Tindakan 2026-2030 memberi manfaat sebenar kepada komuniti OKU.
EXCO Kebajikan Masyarakat berkata ukuran sebenar kemajuan Selangor bukan hanya berdasarkan pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.
Sebaliknya, Anfaal Saari berkata kejayaan sesebuah negeri perlu diukur berdasarkan keupayaannya memastikan rakyat mendapat peluang yang adil untuk hidup bermaruah, menyumbang kepada masyarakat dan menikmati hasil pembangunan secara saksama.
Menurutnya, PBT khususnya perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan prinsip kebolehcapaian dan reka bentuk sejagat dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan Dasar OKU Selangor.
“Kita telah bermula dengan bengkel yang dilaksanakan di bawah Majlis Tindakan OKU Selangor pada akhir tahun lepas di Majlis Perbandaran Kuala Selangor dengan bengkel melibatkan jurutera serta Jabatan Perancang Bandar akan diteruskan.

“Daripada segi kesediaan saya memahami bahawa untuk pembangunan lama, brownfield mungkin agak sukar tetapi kita boleh mulakan dengan perancangan pembangunan baharu. Maknanya sebelum masuk ke OSC, syarat yang perlu diwajibkan kepada pemaju agar memastikan reka bentuk sejagat itu dimasukkan dalam perancangan pembangunan.
“Pemaju ataupun ubah suai yang tidak mengambil kira aspek tersebut mungkin kita akan ambil tindakan tegas supaya ia diselaraskan mengikut reka bentuk sejagat. Saya tidak menolak, ada cabaran, ada halangan tetapi ia perlu jadi satu komitmen daripada PBT untuk melaksanakan bagi memastikan inklusiviti dan kebolehcapaian itu berjalan dengan baik, selaras dengan dasar,” katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan dokumen berkenaan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM di sini, hari ini.
Terdahulu, Anfaal turut menyampaikan geran dengan jumlah keseluruhan RM90,000 kepada tiga pemenang Selangor Inclusive Innovation Programme (SIIP) anjuran Majlis Tindakan OKU Selangor.

Menurut Anfaal, Kerajaan Negeri komited memastikan aspek pelaksanaan, pemantauan dan penilaian dasar itu berjalan secara telus.
“Justeru setiap agensi kerajaan, PBT dan pemegang taruh diwajibkan memainkan peranan secara berakauntabiliti demi memastikan dokumen ini berfungsi sebagai instrumen perubahan yang memberi impak sebenar, bukannya sekadar dokumen yang tersimpan di rak,” katanya.
Sebelum ini, Anfaal berkata dasar itu menyediakan garis panduan khas yang mesti dipatuhi pelbagai pihak sebelum sesebuah projek pembangunan dijalankan dan ia diwajibkan ke atas semua 12 PBT di negeri ini sebelum meluluskan pembangunan baharu.
Jelasnya, reka bentuk sejagat sudah digariskan dalam Pelan Malaysia, namun pada peringkat negeri akan dbangunkan garis panduan khusus yang wajib dipatuhi semua PBT di Selangor dengan mana-mana pembangunan baharu yang ingin mendapat kelulusan perancangan perlu memenuhi syarat aksesibiliti serta keperluan OKU.









