Beri tumpuan aspek pendidikan, peluang kerja untuk belia OKU

14 Mei 2026, 7:00 AM
Beri tumpuan aspek pendidikan, peluang kerja untuk belia OKU
Beri tumpuan aspek pendidikan, peluang kerja untuk belia OKU

SHAH ALAM, 14 MEI: Majlis Belia Orang Kurang Upaya Malaysia (MBOKU) berharap Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor 2026-2030 tidak hanya tertumpu kepada isu kebajikan semata-mata.

Sebaliknya, Presidennya Muhammad Ghazali Othman berharap Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada aspek pendidikan, peluang kerja, pembangunan belia OKU dan akses teknologi digital.

Presiden Majlis Belia Orang Kurang Upaya Malaysia Muhammad Ghazali Othman

“MBOKU menyambut baik kelulusan dasar berkenaan yang disifatkan sebagai langkah positif dan progresif dalam memperkukuh hak, aksesibiliti serta pembangunan masyarakat OKU di Selangor.

“Kelulusan dasar ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan komuniti OKU terus diberi perhatian melalui pendekatan lebih tersusun dan sistematik,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata aspek kemudahan mesra OKU dan penglibatan mereka dalam proses pelaksanaan dasar perlu diberi penekanan supaya agenda menyeluruh dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Dasar yang baik perlu disusuli tindakan konsisten, pemantauan berkesan serta kerjasama strategik antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan sektor korporat,” katanya.

Menurut Muhammad Ghazali, MBOKU sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan dasar itu benar-benar memberi kesan positif terhadap masyarakat OKU.

“Bagi kami, pembangunan sebenar ialah pembangunan yang tidak meninggalkan sesiapa,” katanya.

Menurut EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari pada 10 Mei, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini meluluskan Dasar OKU Selangor 2026-2030 yang akan dilancarkan 9 Jun.

Kelulusan dasar yang mengandungi lima teras strategik untuk jangka pendek dan panjang hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperjuang kepentingan kelompok OKU di negeri ini.

Teras itu ialah kesejahteraan hidup dan kesaksamaan, pendidikan dan pembangunan sepanjang hayat, produktiviti pembangunan ekonomi, aksesibiliti serta reka bentuk sejagat selain tadbir urus dan advokasi OKU.

Pelaksanaan Dasar OKU. GRAFIK AZWA MALEK

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.