SHAH ALAM, 9 JUN: Isu pemilikan dan pewartaan tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Kubu Bharu (KKB) akhirnya selesai selepas hampir dua dekad tertangguh apabila tanah berkeluasan 24,823 kaki persegi bagi tapak perluasan sekolah itu diberikan geran kekal.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata penyelesaian itu turut disusuli dengan penyaluran peruntukan baharu daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor bagi memperkukuh kemudahan pendidikan di sekolah berkenaan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000, manakala Kerajaan Selangor memperuntukkan RM60,000.
"Daripada jumlah itu, 50 peratus digunakan bagi program pendidikan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala baki 50 peratus untuk kerja pengubahsuaian bangunan serta penambahbaikan infrastruktur sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jabatan Pendidikan, pihak sekolah, PIBG serta komuniti setempat.
Terdahulu, Papparaidu mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dalam lawatan kerja ke sekolah itu di Hulu Selangor bagi meninjau perkembangan isu berkenaan.
Beliau berkata usaha mendapatkan pemilikan tanah bagi kawasan perluasan sekolah itu bermula sejak 2007, sebelum permohonan rasmi dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan pada 2021.
“Apabila isu ini dimaklumkan kepada Timbalan Menteri semasa lawatan beliau pada 2024, saya telah berjanji untuk memastikan segala urusan dan kelulusan melibatkan Kerajaan Selangor dapat diselaraskan serta dipercepatkan.
“Hasil semakan terkini mendapati tanah tersebut telah berjaya diwartakan sebagai tapak sekolah… diberikan Geran Kekal dengan keluasan 24,823 kaki persegi,” katanya.

Papparaidu berkata penyelesaian itu membuktikan keberkesanan kerjasama semua pihak dalam memastikan isu pendidikan dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao serta semua agensi terlibat.
“Apabila semua pihak terlibat berganding bahu, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan demi masa depan pendidikan generasi muda,” katanya selain berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.







