SHAH ALAM, 9 JUN: Kegiatan menyimpan diesel tanpa lesen di sebuah premis di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor semalam.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa'ari berkata pemeriksaan terhadap premis tanpa nombor itu dijalankan jam 5 petang susulan risikan selama dua minggu yang dilakukan pihaknya.
Menurut beliau, pemeriksaan awal menemukan sebuah tangki jenis Skid Tank berkapasiti kira-kira 30,000 liter yang mengandungi kira-kira 4,000 liter diesel dipercayai disimpan secara tidak sah.
Katanya, pasukan serbuan turut menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan bahan api.
“Pasukan serbuan turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi aktiviti pemindahan bahan api, antaranya hos penyambung, pam aliran (pump flow meter) serta beberapa peralatan lain.
“Kesemua bahan api, tangki serta peralatan yang ditemui telah disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang dipercayai bertindak sebagai pekerja atau penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan.
Muhamad Hanif berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan barang kawalan berjadual jenis diesel.
“Siasatan awal mendapati aktiviti berkenaan dipercayai membabitkan transaksi mencurigakan berkaitan diesel dan berpotensi disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana berurus niaga barang kawalan tanpa lesen yang sah,” katanya lapor Harian Metro.
Beliau memaklumkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM50,000 manakala tindakan itu berjaya menyelamatkan subsidi kerajaan kira-kira RM15,000.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bermula 16 Mac hingga semalam, 2,794 pemeriksaan dijalankan dengan 57 kes tindakan dihasilkan.
“Dalam tempoh sama, nilai sitaan keseluruhan direkodkan mencecah RM2 juta, selain berjaya menyelamatkan subsidi kerajaan dianggarkan bernilai RM265,000,” katanya.









