Insiden Acap, Jaslinda jadi pengajaran, garis panduan pendakian baharu disiapkan

9 Jun 2026, 2:45 AM
Insiden Acap, Jaslinda jadi pengajaran, garis panduan pendakian baharu disiapkan

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Persatuan Malim Gunung Perhutanan Malaysia (PMGP) sedang membangunkan garis panduan khusus untuk malim gunung bagi memperkukuh aspek keselamatan aktiviti pendakian susulan beberapa insiden pendaki hilang dan cedera yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Presidennya Azuan Abdullah berkata garis panduan itu akan mengambil kira pelbagai input dan maklumat daripada pihak berkaitan bagi memastikan amalan terbaik dapat diterapkan dalam kalangan malim gunung serta komuniti pendaki.

Beliau berkata pihaknya yang baharu mengambil alih kepimpinan persatuan masih meneliti semua laporan serta garis panduan sedia ada sebelum memuktamadkan dokumen berkenaan.

“Kami sentiasa menambah baik input dan maklumat tambahan demi kepentingan komuniti pendaki.

“Insya-Allah, kami berusaha menyiapkan garis panduan ini dalam masa terdekat dengan mengambil kira maklumat daripada setiap negeri dan jabatan berkaitan demi manfaat semua pihak, termasuk syarikat insurans bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki serta malim gunung,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau berkata sebarang arahan, maklumat dan keputusan yang dikeluarkan Pejabat Hutan Daerah serta Jabatan Perhutanan Negeri perlu dipatuhi bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

Mengulas cadangan pelaksanaan sistem pendaftaran pendaki secara digital atau sistem daftar masuk dan keluar bagi memudahkan pengesanan ketika kecemasan, beliau berkata langkah itu boleh dipertimbangkan sekiranya infrastruktur komunikasi dapat dibangunkan dengan segera di seluruh kawasan Hutan Simpan Kekal.

Katanya liputan komunikasi yang masih terhad dan belum menyeluruh di kebanyakan kawasan hutan menjadi cabaran utama kepada pelaksanaan sistem digital secara berkesan.

“Antara medium komunikasi yang boleh digunakan ialah walkie-talkie PMR446 (Personal Mobile Radio 446 MHz), radio CB (Citizens Band) ketika pendakian atau radio amatur berlesen yang dikendalikan mengikut peraturan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Pemasangan repeater radio di puncak yang dikenal pasti juga boleh membantu menghubungkan komunikasi antara stesen berdekatan dan memperkukuh rangkaian komunikasi ketika kecemasan,” katanya.

Mengenai penglibatan masyarakat Orang Asli dalam operasi SAR, beliau berkata kepakaran mereka boleh dimanfaatkan untuk mengesan jejak serta mengenal pasti kawasan rayau individu yang hilang, namun keberkesanannya bergantung kepada situasi dan tahap koordinasi dengan pasukan penyelamat.

Sementara itu, beliau mencadangkan simulasi SAR dilaksanakan secara berkala melibatkan semua agensi berkaitan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta memperkukuh koordinasi ketika operasi sebenar.

Azuan berkata pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penambahbaikan sistem komunikasi, penggunaan teknologi dan latihan berterusan adalah antara langkah penting bagi mengurangkan risiko kehilangan serta kemalangan pendaki di kawasan hutan negara.

Sabtu lepas, seorang pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49 berjaya ditemukan dengan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh oleh Orang Asli, kira-kira dua minggu selepas dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Dalam satu lagi insiden pada 23 Mei, seorang remaja, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa di Hulu Bernam, Selangor, ditemukan meninggal dunia pada 26 Mei, manakala Mustaqqeem Mansoor, 34, dilaporkan meninggal dunia akibat hipotermia ketika mendaki Gunung Liang Barat, Perak pada Oktober 2025.

Selain itu, kes kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap, 29, ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Bukit Batu Putih, Gopeng pada Mac 2019, masih kekal menjadi misteri sehingga kini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.