SHAH ALAM, 27 JUN: Pendaki yang tersesat di dalam hutan disaran meninggalkan petunjuk seperti tanda arah menggunakan ranting, pembungkus makanan atau menyalakan unggun api bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan lokasi mereka dengan lebih cepat.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Perhutanan, Mohamad Azuan Abdullah berkata tindakan itu mampu mengecilkan kawasan pencarian selain membantu anggota penyelamat menjejaki laluan yang dilalui mangsa.
Menurutnya, antara cara paling mudah ialah mematahkan ranting pokok dan menyusunnya dalam bentuk anak panah sebagai penunjuk arah pergerakan.

"Jika benar-benar terdesak, pendaki juga boleh menggunakan pembungkus makanan atau bahan lain yang dibawa bersama sebagai penanda lokasi.
"Petunjuk kecil seperti ini mungkin kelihatan remeh, tetapi ia boleh membantu pasukan SAR mengesan laluan yang telah dilalui mangsa," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya ramai pendaki sebenarnya bukan hilang arah di kawasan tanpa laluan, sebaliknya tersasar selepas memasuki denai lain yang kelihatan seperti trek utama.
Justeru, beliau menasihatkan pendaki supaya tidak terus bergerak tanpa arah apabila menyedari diri tersesat kerana tindakan itu hanya akan membesarkan kawasan pencarian dan menyukarkan operasi SAR.
Selain meninggalkan petunjuk, Mohamad Azuan berkata unggun api juga boleh dijadikan isyarat kecemasan kepada pasukan penyelamat, terutama jika mangsa terpaksa bermalam di dalam hutan.

Beliau turut mengesyorkan setiap pendaki membawa pemetik api sebagai sebahagian daripada peralatan kecemasan wajib ketika melakukan aktiviti pendakian.
"Pemetik api bukan untuk tujuan lain, sebaliknya digunakan bagi menyalakan unggun api ketika kecemasan. Ia boleh menjadi petunjuk kepada pasukan penyelamat bahawa terdapat individu yang memerlukan bantuan di kawasan tersebut," katanya.
Plastik sampah alat survival paling penting
Dalam pada itu, Mohamad Azuan menyifatkan plastik sampah sebagai antara peralatan survival paling penting yang wajar dibawa setiap pendaki walaupun harganya murah dan sering dipandang remeh.
Katanya, plastik sampah ringan, mudah disimpan dan mempunyai pelbagai kegunaan ketika berdepan situasi kecemasan di dalam hutan.
"Plastik sampah boleh digunakan untuk memerangkap haba badan ketika cuaca sejuk sekali gus membantu mengurangkan risiko hipotermia jika seseorang terpaksa bermalam di dalam hutan.
"Ia juga boleh dijadikan perlindungan sementara ketika hujan atau dalam keadaan kecemasan. Sebab itu saya sentiasa mengingatkan pendaki supaya tidak meninggalkan plastik sampah setiap kali melakukan pendakian," katanya.

Beliau berkata ramai pendaki lebih memberi perhatian kepada peralatan besar seperti beg, kasut dan pakaian khas, sedangkan peralatan ringkas seperti plastik sampah boleh menjadi penyelamat apabila berlaku kecemasan.
Menurutnya, persediaan yang baik sebelum memasuki kawasan hutan bukan sahaja meningkatkan peluang untuk terus bertahan sekiranya tersesat, malah membantu memudahkan usaha pasukan penyelamat mengesan mangsa dengan lebih pantas.





