SHAH ALAM, 8 JUN: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mengambil langkah kawalan termasuk pemangkasan pokok serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani gangguan burung di kawasan hospital.
HTAR memaklumkan tindakan tersebut dilaksanakan susulan isu tular kemasukan beberapa ekor burung merpati ke dalam wad yang mendapat perhatian masyarakat.
Menurut HTAR, pokok-pokok di sekitar kawasan hospital menjadi habitat kepada burung merpati dan gagak, sekali gus meningkatkan risiko haiwan berkenaan memasuki bangunan hospital secara tidak sengaja.
“Antara langkah yang dilaksanakan ialah pemangkasan pokok oleh syarikat konsesi, pemantauan berkala di kawasan wad serta kerjasama dengan PBT bagi memperkukuh usaha kawalan di kawasan hospital.
“HTAR memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan persekitaran hospital sentiasa selamat, bersih dan kondusif demi kesejahteraan pesakit, pelawat serta warga kerja hospital.
“Semua langkah bersesuaian akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama ini berulang,” maklumnya menerusi kenyataan
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan beberapa ekor burung merpati berada di dalam sebuah wad hospital, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai aspek kebersihan dan keselamatan fasiliti kesihatan.







