SHAH ALAM, 18 NOV: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menerima dua mesin oftalmologi baharu bagi meningkatkan keupayaan diagnosis dan pengesanan awal penyakit mata.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata semasa lawatan mengejut pagi tadi, beliau meluluskan pembekalan mesin Fundoscopy System bernilai RM250,000 dan OCT Spectrometer bernilai RM600,000.
"Saya bersetuju memberikan kelulusan segera untuk pembekalan dua mesin oftalmologi baharu bagi meningkatkan keupayaan diagnostik dan mempercepat pengesanan awal penyakit mata, iaitu mesin Fundoscopy system yang bernilai RM250,000 dan OCT spectrometer yang bernilai RM600,000," katanya di Facebook.
Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau Zon Merah Jabatan Kecemasan yang terjejas akibat kebakaran Julai lalu dan mengesahkan kerja pemulihan siap sepenuhnya, dengan operasi kembali berjalan seperti biasa.
"Saya juga berkesempatan meninjau sistem pneumatic tube HTAR, sistem penghantaran bertekanan udara yang digunakan sejak 1997 untuk memindahkan sampel darah, ubat-ubatan dan dokumen penting antara jabatan. Sistem ini menjimatkan masa yang kritikal dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan," katanya.
Sementara itu, Dzulkefly telah mengarahkan pihak hospital mempercepatkan kerja naik taraf sistem pengudaraan dan penghawa dingin di Kompleks Ibu dan Anak serta Wad Pediatrik yang tidak menyeluruh.
"Di Kompleks Ibu dan Anak serta Wad Pediatrik, saya mendapati beberapa bahagian masih mengalami pengudaraan yang kurang baik serta liputan penghawa dingin yang tidak menyeluruh.
"Saya telah mengarahkan pihak hospital untuk mempercepat kerja naik taraf, termasuk memastikan semua kawasan pesakit dilengkapi penghawa dingin demi keselesaan ibu, kanak-kanak dan petugas," katanya.







