'Ulat' kereta sewa caj RM60 dari KLIA ke TBS ditahan

8 Jun 2026, 3:35 AM
'Ulat' kereta sewa caj RM60 dari KLIA ke TBS ditahan

SEPANG, 8 JUN: Seorang pemandu ditahan selepas dipercayai menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram kepada tiga pelancong asing di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam operasi penguatkuasaan baru-baru ini.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memaklumkan tangkapan itu dibuat hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan Stesen Penguatkuasa KLIA pada 6 Jun lalu.

“Sebuah kenderaan jenis Proton Saga bersama pemandunya telah ditahan dan disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memujuk, merayu serta menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tiga warga Pakistan dari Terminal 1 KLIA ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

"Tambang perjalanan berkenaan ditetapkan pada kadar RM60 dan akan dibayar sebaik sahaja penumpang tiba di destinasi," katanya.

Tegas agensi itu, aktiviti tersebut dipercayai dijalankan tanpa lesen yang sah dan dikategorikan sebagai kegiatan 'ulat' yang menyalahi undang-undang.

“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

"Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Malah, pihak yang didapati bersubahat dalam kegiatan berkenaan turut berdepan tindakan mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta sama.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter yang disediakan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing.

Sebarang aduan trafik boleh disalurkan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan@JPJ dengan menyertakan maklumat lengkap pengadu dan aduan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.