SHAH ALAM, 11 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang lelaki serta menyita sebuah Perodua Alza selepas dipercayai menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata tindakan itu diambil hasil intipan dan pemantauan anggota penguat kuasa di kawasan terminal berkenaan, lapor Harian Metro.
Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai bertindak sebagai ‘ulat’ kereta sewa dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan tanpa lesen kepada penumpang.
“Siasatan awal mendapati suspek memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tiga penumpang warga Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dengan tambang RM65, yang akan dibayar sebaik tiba di destinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kenderaan jenis Perodua Alza bersama pemandunya telah ditahan dan disita bagi membantu siasatan lanjut.
Azrin menjelaskan individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Katanya, mana-mana pihak yang bersubahat dalam aktiviti ‘ulat’ juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah, sama ada melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-panggilan.








