'Ulat' kereta sewa haram ditahan di KLIA

11 Dis 2025, 4:12 AM
'Ulat' kereta sewa haram ditahan di KLIA

SHAH ALAM, 11 DIS: Cubaan seorang individu menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram kepada pelancong asing di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengundang padah apabila dia ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semalam.

Penahanan tersebut hasil intipan dan pemantauan Stesen Penguatkuasa KLIA yang mendapati suspek menjalankan aktiviti ‘ulat’ di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.

JPJ Selangor memaklumkan operasi itu turut membawa kepada sitaan sebuah Proton Persona yang digunakan suspek untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan tidak berlesen.

“Hasil siasatan awal, suspek didapati memujuk dan merayu tiga penumpang warga India untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari Terminal 1 KLIA ke Park Royal Hotel, Kuala Lumpur dengan kadar tambang RM90, yang akan dibayar setibanya di destinasi,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, individu yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan tidak berlesen boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

"Kesalahan itu memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Mereka yang bersubahat dalam aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta sama,” katanya.

JPJ turut menasihatkan orang awam supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Sebarang aduan berkaitan trafik boleh dikemukakan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-aduan@JPJ, lengkap dengan maklumat pengadu dan butiran kejadian.