HARAPAN komited junjung prinsip demokrasi meski PRN Johor bukan keputusan bersama - MB

7 Jun 2026, 8:53 AM
HARAPAN komited junjung prinsip demokrasi meski PRN Johor bukan keputusan bersama - MB
HARAPAN komited junjung prinsip demokrasi meski PRN Johor bukan keputusan bersama - MB

SHAH ALAM, 7 JUN: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan terus menjunjung prinsip demokrasi dan Perlembagaan negara meskipun berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang disifatkan bukan keputusan yang dipersetujui secara bersama.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato' Seri Amirudin Shari berkata pendirian itu selaras dengan komitmen HARAPAN untuk terus menjadi peserta dalam proses demokrasi negara.

“Hakikatnya, seperti penjelasan Pengerusi HARAPAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam, pilihan raya ini bukanlah keputusan yang dilakukan dan dipersetujui secara bersama.

“Ketika negara dan dunia dihimpit krisis yang mencengkam, rakyat kini dihambat dengan pilihan raya ketika bukan waktunya,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya HARAPAN di Batu Pahat, Johor yang dirasmikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke serta pimpinan kanan HARAPAN yang lain.

Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN berkata kemenangan gabungan itu hanya dapat dicapai menerusi disiplin, kesetiaan dan semangat kerja berpasukan yang kukuh dalam kalangan jentera parti.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera HARAPAN memperhebat gerak kerja bagi memastikan kemenangan di Johor demi mempertahankan agenda reformasi serta meneruskan kesinambungan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar.

Pada 1 Jun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16.

Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala HARAPAN memperoleh 12 kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara MUDA memperoleh satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRN Johor pada 12 Jun ini.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata suruhanjaya itu telah menerima notis daripada Speaker Dewan Negeri Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung pembubaran DUN Johor pada 2 Jun lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.