KUALA LUMPUR, 7 JUN: Media Selangor melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai pembantu yang memperkukuh operasi media dan bukannya ancaman kepada industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata perkembangan AI tidak boleh dielakkan, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara bijak mengikut keperluan tugasan.
“Di Media Selangor, kita mengambil pendekatan bahawa AI ini adalah pembantu, kita kena bekerjasama dengan AI.
“Bukan kita gunakan AI itu, kita pandang sebagai ancaman dan sebagainya sebab lambat laun AI ini memang akan meliputi seluruh aspek kehidupan kita,” katanya pada sesi Hati & Minda: Edisi Pemimpin di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, semalam.
Beliau berkata penggunaan AI dalam organisasi itu melibatkan pelbagai fungsi termasuk membantu proses ringkasan berita, penghasilan visual serta pengurusan teknikal mengikut bidang tugasan.
Namun, Mohamed Fareed berkata elemen semakan manusia tetap penting bagi memastikan ketepatan fakta dan mengelakkan kesilapan kandungan yang dijana teknologi.
Beliau berkata Media Selangor turut melaksanakan transformasi operasi menerusi pendekatan kerja bersepadu (convergence) dengan wartawan digalak menguasai pelbagai kemahiran termasuk penulisan, rakaman video dan fotografi.
Katanya, budaya peningkatan kemahiran dan latihan semula terus diterapkan termasuk galakan membaca menerusi tuntutan pembelian bahan bacaan sehingga RM100 serta sesi perkongsian buku dalam mesyuarat jabatan.








