Media Selangor fokus isu tempatan, pastikan tiada daerah tercicir

7 Jun 2026, 7:00 AM
Media Selangor fokus isu tempatan, pastikan tiada daerah tercicir

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Media Selangor akan terus memperkukuh peranannya sebagai medium penyampaian maklumat yang kekal relevan kepada masyarakat dengan memberi penekanan terhadap isu tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata liputan berita tidak wajar tertumpu kepada kawasan bandar semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi semua daerah termasuk kawasan luar bandar.

“Di Selangor ini kita sering terlepas pandang sebab bila orang sebut pasal Selangor, orang ingat Petaling Jaya, Damansara, Shah Alam, Subang.

“Sedangkan sebenarnya Selangor ini meliputi daripada Sabak Bernam di utara hinggalah Sepang di selatan,” katanya pada sesi Hati & Minda: Edisi Pemimpin di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, semalam.

Beliau berkata pendekatan berteraskan isu tempatan penting bagi memastikan masyarakat di kawasan seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor tidak tercicir daripada akses maklumat.

Mohamed Fareed berkata landskap media berubah secara drastik sejak pandemik Covid-19 apabila kebanyakan organisasi media mula beralih kepada platform digital termasuk portal berita, video dan media sosial.

“Kalau kita lihat secara umum, kebanyakan media utama Malaysia seperti The Star, Sinar Harian, Berita Harian dan sebagainya telah mula mengurangkan jumlah cetakan termasuk Media Selangor sendiri.

“Kerana kebanyakan kos dan tenaga tersebut dialihkan kepada pembuatan berita yang bersifat digital seperti video, media sosial, portal dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata Media Selangor akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan industri bagi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat kekal pantas, relevan serta dekat dengan komuniti setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.